Berita Hari Ini

20 wanita Orang Asli bakal konstabel

PUTRAJAYA – Seramai 130 calon Konstabel Orang Asli terpilih menjalani latihan asas Pasukan Gerakan Am (PGA) selama enam bulan di Pusat Latihan Gerakan Am Ulu Kinta, Ipoh, Perak.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengambilan ketiga itu melakar sejarah tersendiri apabila 20 daripada calon terpilih adalah wanita.

“Calon terpilih adalah daripada enam negeri iaitu Perak, Pahang, Johor, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan. Mengikut pecahan, calon teramai dari Perak.

“Ini kali pertama pengambilan calon melibatkan wanita dan ia akan diteruskan jika kumpulan pertama ini berjaya menamatkan latihan, dan berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada Majlis Penyerahan Calon Konstabel Orang Asli PDRM-Jakoa Tahun 2016, semalam.

Menurutnya, pihak kementerian menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah membelanjakan RM348,738 untuk menjayakan program tersebut.

“Sebanyak RM2,182.60 disediakan untuk pembelian peralatan keperluan dan elaun pra kerjaya RM500 turut diberikan kepada setiap calon.

“Selepas tamat latihan, mereka yang berjaya akan ditempatkan di dua lokasi iaitu Batalion 3, Bidor, Perak atau Batalion 18, Pengkalan Hulu, Gerik, Perak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, tidak hanya menyediakan ruang bagi Orang Asli menyertai PGA, malah mereka berkelayakan turut diberi ruang untuk berada di posisi lebih baik.

“Bagi Orang Asli, kita sediakan skim khas, di mana untuk Konstabel PGA, mereka perlu memiliki kelayakan minima Penilaian Menengah Rendah (PMR) kepujian dalam subjek Bahasa Melayu.

“Namun, mereka yang memiliki kelulusan lebih tinggi tidak dihalang untuk memohon mana-mana jawatan lebih bersesuaian di PDRM,” katanya.

Beliau berkata, calon Orang Asli memiliki kelebihan tersendiri, bukan hanya mampu membantu PDRM, malah pihak berkuasa lain.

“Sebenarnya masih banyak masalah berkaitan hutan berlaku. Hasil bernilai telah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Jadi wajarlah kita gunakan kepakaran mereka untuk membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");