Berita Hari Ini

2,000 pelajar sertai persembahan Grafik Kreatif

KUALA LUMPUR – Lebih 2,000 pelajar Tingkatan 4 dari beberapa sekolah menengah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur akan terlibat menjayakan persembahan Grafik Kreatif sempena Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2016, Rabu ini.

Ketua Penyelaras Kumpulan Grafik Kuala Lumpur (KL) Nor Adzmi Baba berkata kumpulan pelajar terdiri dari pelbagai bangsa itu memulakan latihan sejak awal Julai lepas di bawah seliaan 30 koreografer serta 28 grafik kreatif.

“Tenaga pengajar turut dibantu 52 guru (30 dari sekolah sekitar KL dan 22 dari Selangor).

“Peserta akan dilatih empat jam sehari bermula 7 pagi. Latihan pada tahun-tahun sebelum ini biasanya dilakukan di Stadium Bukit Jalil, namun tahun ini kami lakukan di padang sekolah di dalam Kem Sungai Besi,” katanya ketika ditemui Bernama selepas raptai hari kedua acara Perarakan dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2016 di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Raptai Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2016 itu bermula seawal 6.30 pagi yang disertai 15,000 peserta dari pelbagai lapisan umur dan agensi.

Katanya persembahan Grafik Kreatif menggunakan plai kad, pom-pom, kelarai, bendera dan payung dengan mengikut rentak lagu patriotik yang dimainkan ketika perarakan dan perbarisan.

“Terdapat beberapa segmen yang akan dipersembah peserta bermula 7 pagi menggunakan kesemua peralatan yang disediakan mengikut rentak lagu patriotik oleh Kumpulan Koir Pentarama,” katanya yang juga Ketua Unit Kokurikulum di Jabatan Pendidikan.

Hari Kebangsaan 2016 bertemakan ‘Sehati, Sejiwa’ merupakan tema tahun lepas yang dikekalkan tahun ini kerana perlunya usaha memupuk semangat bersatu padu yang telah lama menjadi amalan dalam kalangan rakyat Malaysia.

–Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");