Berita Hari Ini

25% sasaran dicapai

Putrajaya: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) berjaya mencapai sasaran membangunkan 10,000 bakat Bumiputera menerusi pembiayaan tiga program teras iaitu Peneraju Tunas, Peneraju Skil dan Peneraju Profesional.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ini bermakna sebanyak 25 peratus daripada sasaran membangunkan 40,000 bakat Bumiputera menjelang 2020 berjaya dicapai, dengan pengenalan 117 program membabitkan perbelanjaan RM206 juta.

“Bagi program skil, Yayasan Peneraju mengetengahkan usaha mengarusperdanakan program pembangunan dan peningkatan kemahiran bakat Bumiputera menerusi latihan teknikal dan vokasional (TVET), dengan 75 peratus daripadanya menumpukan kepada program menjurus ke arah peningkatan kemahiran.

“Menjelang 2020, Yayasan Peneraju akan melatih 30,000 penerima faedah Program Peneraju Skil dan setakat Jun lalu, di bawah Teras Peneraju Skil, sebanyak 63 program dilaksanakan membabitkan 5,019 penerima faedah dan pelaburan berjumlah RM51.6 juta,” katanya berucap pada Majlis Bersama Perdana Menteri-Perjalanan Merealisasi 40,000 Aspirasi, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Rahman Dahlan, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani dan Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju Raja Azura Raja Mahayuddin.

Terdahulu, Najib turut mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju.

Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Peneraju berkata, menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11), Yayasan Peneraju diberi mandat untuk memperluaskan lagi latihan kemahiran dan program profesional bertauliah bagi membangunkan tenaga kerja mahir Bumiputera.

Katanya, khusus untuk program kemahiran, yayasan berkenaan mempunyai dua segmen sasaran iaitu Program Peneraju Skil Iltizam dan Program Peneraju Skil.

“Program Peneraju Skil Iltizam mensasarkan belia berusia 17 hingga 23 tahun yang kurang cenderung kepada akademik malah, yang tidak tamat persekolahan juga diserap.

“Sementara program Peneraju Skil pula mensasarkan pelatih berusia sehingga 40 tahun yang ingin meningkatkan kemahiran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Najib berkata, program berkenaan menyediakan pensijilan industri dan antarabangsa, jaminan pekerjaan dan laluan kerjaya yang membantu ke arah pendapatan lebih tinggi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Yayasan Peneraju berusaha menarik minat lebih ramai rakan penaja dan program untuk membantu menjayakan agenda nasional berkenaan.

Katanya, sumbangan dana sangat penting bagi memastikan kelangsungan program di bawah Yayasan Peneraju dalam usaha merealisasikan aspirasi mencapai sasaran 40,000 penerima faedah menjelang 2020.

“Justeru, kami berharap syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta institusi latihan tampil menyalurkan sumbangan dan sokongan berterusan dari segi suntikan dana atau peluang kerjasama kepada Yayasan Peneraju,” katanya.

Sementara itu, Raja Azura ketika ditemui media berkata, 10,000 bakat Bumiputera yang berjaya dibangunkan itu dari tempoh Februari 2012 hingga Ogos tahun ini.

“Menerusi gelombang kedua tahun dua bermula Ogos hingga Disember tahun depan, seramai 10,000 pelajar disasarkan sebagai pemegang biasiswa ini dan seterusnya, seramai 20,000 pelajar lagi disasarkan bermula 2018 hingga 2020.

Sehingga kini, lebih 25 syarikat tempatan bekerjasama dengan Yayasan Peneraju dan pada November ini, satu majlis sumbangan dana akan diadakan bagi menarik lebih banyak pembabitan syarikat,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");