Berita Hari Ini

5,000 dijangka sertai World #QuranHour

GOMBAK: World #QuranHour yang akan berlangsung pada 9 Zulhijah ini dijangka menghimpunkan kira-kira 5,000 umat Islam dari seluruh negara.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin berkata, World #QuranHour yang juga inisiatif hasil program #RumahNgaji dilihat dapat memberi kesan besar terhadap umat Islam.

“Bagi memastikan program ini berjalan lancar, kita dengan berlapang dada menyusun organisasi untuk menyambut idea yang baik ini dan diterjemahkan ke dalam bentuk program pada 9 Zulhijah jam 8 pagi.

“Walaupun hanya satu jam, tetapi persiapan ke arah program tersebut perlu dilakukan dengan teliti kerana ia melibatkan sekurang-kurangnya 5,000 orang,” katanya ketika ditemui di UIAM, semalam.

Beliau berkata, selain mengenal pasti jabatan yang akan melaksanakan program tersebut, UIAM juga akan menggerakkan semua 32 rangkaian alumni di luar negara supaya program itu dapat dilaksanakan serentak di negara masing-masing.

“Walaupun program ini hanya satu jam, namun ia adalah sentuhan pertama kepada pembacaan dan pemahaman al-Quran serta melaksanakan kehidupan mengikut roh al-Quran itu sendiri yang bermula daripada pembacaan.

“Pembacaan itu, jika dilakukan berseorangan mungkin sukar, tetapi kita laksanakannya secara beramai-ramai dahulu dan UIAM di Unit Tilawah sentiasa memastikan setiap penuntut boleh membaca al-Quran dengan baik,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut berharap 4,000 atau 5,000 orang yang merupakan gelombang pertama ini bakal mencetuskan gelombang lebih besar pada masa akan datang.

“Tidak mustahil suatu hari nanti ia akan menjadi tsunami dan menjadikan al-Quran sebagai sebahagian daripada kehidupan, di mana al-Quran itu sentiasa dibaca dan bukannya disimpan atau dijadikan bahan hantaran,” katanya.

Sementara itu, wakil penuntut, Muhammad Syauqi Damla, 23, berharap kempen tersebut akan beri kesan terhadap rakyat Malaysia.

“Bagi saya, program World #QuranHour adalah usaha yang sangat bagus. Semoga melalui program ini, ia dapat menarik kita kembali kepada sumber asal iaitu al-Quran itu sendiri.

“Bahkan UIAM adalah lokasi paling sesuai kerana ia turut menjadi sumber rujukan penuntut dan masyarakat di luar sana,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");