Membawang Hari Ini

60 Penyanyi Lelaki Bergabung Takbir Hari Raya Aidiladha

SHAH ALAM: Seramai 60 penyanyi lelaki daripada pelbagai genre muzik berganding bahu dalam menjayakan rakaman takbir Hari Raya Aidiladha yang diadakan di IDCC Shah Alam di sini pada Sabtu.

Penerbit khas program tersebut, Noraniza Idris berkata, kesudian mereka yang terlibat dalam rakaman berkenaan bukti mereka sanggup mengenepikan tugas masing-masing demi menyumbang sesuatu kepada agama dan bangsa.

“Alhamdulillah rakaman hari ini berjaya biarpun masing-masing sibuk dengan tugas namun mereka sudi meluangkan masa.

“Saya bersyukur dan berbesar hati kerana dapat menunaikan hajat untuk merakamkan takbir hari raya ini bersempena dengan hari lahir saya yang jatuh pada hari ini,” katanya.

Antara selebriti yang terlibat pada rakaman itu adalah Aris Ariwatan, Mel Wings, Rozz Bloodshed, Afee Utopia, Ezam EYE, Nash, Saleem dan Raymie Febians.

Manakala penyanyi generasi baharu juga turut memberi sokongan seperti Aweera, Ihab Ismail, Firman, Azmir Arif, Fadzlee Sufri, Fee Haiqal dan Qody.

Ia adalah kerjasama di antara IDCC Shah Alam, Persatuan Belia Kota Gagasan dan Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd.

Rakaman itu bakal disiarkan menerusi saluran TV Alhijrah pada Hari Raya Aidiladha, 12 September depan.

Dalam pada itu, Noraniza berkata, menerusi rakaman takbir raya bersama selebriti itu juga ia dapat mengubah persepsi sesetengah masyarakat terhadap golongan selebriti.

Ini kerana artis Malaysia juga berperanan dalam menyampaikan mesej berunsurkan Islamik dan nilai-nilai murni sebagai ikon kepada generasi hari ini.

“Ini adalah sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial artis kepada masyarakat yang bersifat mendidik dalam membentuk akhlak mulia,” jelasnya.

Malah katanya, menerusi program seumpama ini ia juga dapat mengeratkan kembali silaturahim di antara rakan-rakan artis yang mungkin sebelum ini pernah terputus hubungan.

Sementara itu, Noraniza berkata, dia kini sedang sibuk dengan persiapan Siri Jelajah Malaysia untuk kali keempat yang bakal bermula pada September ini.

Katanya program tersebut mencari pelapis dalam membimbing mereka menyambung usaha perjuangannya dalam seni budaya.

“Seiring dengan niat untuk beralih kepada ukhrawi secara perlahan-lahan dan hanya akan bergiat aktif dalam bidang seni disebalik tabir sahaja apabila tiba masa sesuai kelak,” katanya.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");