Membawang Hari Ini

Amani tak rasa dieksploitasi

Bukan saja tertarik dengan watak Dara serta kekuatan jalan cerita filem Pekak, aktres hebat Sharifah Amani juga bersedia jika lakonannya dikritik penggemar filem tempatan.

Dalam filem Pekak arahan Mohd Khairul Azri, Sharifah Amani, 30, bergandingan dengan pelakon Zahiril Adzim selaku teraju utamanya.

Bagi Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19), filem Pekak juga memaparkan realiti yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

“Saya tertarik berlakon dalam filem ini kerana ia naskhah yang cukup bagus dan pada masa sama, saya juga peminat hasil kerja pengarahnya. Saya sangat berharap Pekak akan berjaya membuka mata masyarakat terutama generasi muda di ibu kota supaya tidak terbabit dengan gejala sosial seperti penagihan dadah dan seks bebas,” katanya.

Amani ditemui pada majlis tayangan perdana filem Pekak di pawagam Cineplex, eCurve, baru-baru ini.

Ditanya mengenai babak ‘panas’ iaitu babak rogol membabitkan dirinya dengan pelakon Amerul Affendi, Amani berkata, dia tidak berasakan dirinya dieksploitasi dalam filem itu.

“Terus terang, saya teruja dapat bekerjasama dengan barisan pelakon hebat yang juga kawan rapat dalam filem ini. Saya juga berasa selamat kerana semua pelakon terbabit mementingkan aspek keselamatan diri saya ketika merealisasikan babak Dara dirogol.

“Filem ini berjaya direalisasikan kerana semua pelakon memberikan kerjasama dan lakonan terbaik mereka,” katanya.

Filem Pekak terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sharifah Sakinah, Iedil Putra dan Zaidi Omar.

Pekak akan mula menjengah pawagam tempatan bermula 1 September ini.

Selektif menerima tawaran berlakon

Selepas sedekad berkecimpung dalam bidang lakonan, sampai masanya Amani lebih selektif menerima tawaran berlakon.

Pelakon yang dilabel anak emas Allahyarham Yasmin Ahmad ini mengakui dia menerima tawaran berlakon sekiranya naskhah itu bagus dan berkualiti.

“Saya perlu lebih selektif kerana mahu menjaga reputasi sebagai pelakon yang sudah senior dalam industri seni. Saya tidak mahu melakonkan watak yang tidak ada mesej dan pengajaran untuk disampaikan pada penonton.

“Saya juga berpendapat tanggungjawab pelakon adalah membentuk dan mewarnai industri perfileman. Sekiranya seseorang pelakon tidak memilih karya yang berkualiti, ia tidak dapat membantu perkembangan industri seni tanah air ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Oktober ini, Amani akan menghadiri tayangan perdana filem Pigeon pada Festival Filem Antarabangsa Tokyo. Menyusul selepas itu, dia akan terbabit dalam pementasan teater Nadira.

-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");