Sukan Hari Ini

Amin berang aksi longlai

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui detik getir suku terakhir sebelum menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-2 pada aksi suku akhir Piala Tan Sri P Alagendra semalam.

Meskipun mengesahkan tempat ke separuh akhir, ketua jurulatih TNB Muhamad Amin Rahim berang dengan barisan pemainnya yang sering melakukan kesilapan mudah sehingga menyaksikan UniKL hampir-hampir meragut kemenangan daripada anak buahnya.

“Barisan pemain membuat kesilapan yang tidak sepatutnya. Apabila kita mendahului dua kali iaitu 1-0 dan 2-1, saya lihat mereka sering membenarkan lawan untuk menyamakan kedudukan.

“Kesilapan ini perlu diperbetulkan supaya kita tidak dihukum apabila beraksi pada saingan separuh akhir nanti,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan di Stadium Hoki Pantai semalam.

Mengulas lanjut situasi ‘cemas’ suku terakhir itu, Amin berkata, beliau sudah menasihatkan barisan pemainnya untuk kekal fokus, tetapi mereka tetap melakukan kesilapan sama.

Selepas Syed Mohamad Syafiq meletakkan TNB di depan seawal minit ketiga menerusi pukulan sudut penalti, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang.

Hanya pada suku terakhir, permainan semakin rancak selepas Abdul Khaliq Hamirin menyamakan kedudukan untuk UniKL minit ke-51.

Nik Mohammad Aiman meletakkan TNB di depan sekali lagi minit ke-53 sebelum Muhammad Najmi Farizal Jazlan kembali menyamakan kedudukan dua minit selepas itu.

Syed Mohamad Syafiq muncul wira dengan menjaringkan gol ketiga minit ke-57 menerusi pukulan sudut penalti.

Satu lagi perlawanan di Stadium Hoki Pantai menyaksikan Sapura membelasah ATM Airod 7-0

Sementara itu di Stadium Hoki Batu Buruk, juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT) menewaskan musuh tradisi Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 3-2.

“Saya berasa lega apabila meraih kemenangan ini kerana ia dapat meningkatkan motivasi pemain apabila beraksi di saingan liga selepas ini,” kata ketua jurulatih THT Sarjit Singh.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");