Sukan Hari Ini

Amsyar terima kritikan, motivasi untuk terus melangkah

PENERJUN negara Ahmad Amsyar Azman tidak mahuterus terguris hati dengan kritikan terhadap prestasinya di Olimpik Rio malah mahu mengambil kritikan sedemikian sebagai sesuatu yang positif untuk terus melangkah ke hadapan.

Penerjun berusia 23 tahun dari Perlis ini berkata beliau kini lebih bersemangat untuk menampilkan aksi yang lebih baik pada masa akan datang.

“Memang komen mereka buat saya lebih bersemangat. Saya akan mengambil kritikan sebagai positif dan ramai juga yang menyokong saya. Pengalaman pada Olimpik pertama ini sangat bermakna bagi saya.

“Saya akan ambil pengalaman ini untuk terus berjuang bagi mencari kejayaan dan mengharumkan nama negara pada temasya-temasya akan datang. Selepas melihat apa yang berlaku di Olimpik, tengok atlet lain menang medal dan sebagainya, ia menjadikan saya lebih matang,” katanya.

Ahmad Amsyar menerima kritikan daripada orang ramai dan media termasuk portal berita The Daily Mail Online dari Britain, kerana melakukakan kesilapan pada terjunan akhirnya pada pusingan kelayakan acara 3m papan anjal lelaki pada 16 Ogos lepas, sekali gus menyebabkan beliau gagal mara ke pusingan separuh akhir.

Sementara itu penerjun muda negara Nur Dhabitah Sabri, 17, bertekad untuk membawa pulang pingat pada Olimpik 2020 di Tokyo selepas menduduki tempat kesembilan dalam acara 10 meter platfrom individu, mengatasi ratu terjun negara Pandelela Rinong yang menduduki tempat ke-11 kerana kecederaan.

“Di Rio tidak perlu untuk merasa stres kerana apabila kita stres, ia buat diri kita susah nak terjun. Sebab itu saya sentiasa senyum sahaja. Saya sebenarnya ingat akan sampai ke separuh akhir sahaja, tetapi saya boleh sampai ke final dengan galakan jurulatih saya (Yang Zhuliang).

“Saya rasa selepas ini kita perlu menyertai lebih banyak kejohanan untuk membiasakan diri dengan pertandingan kerana kadang-kadang kita kekurangan keyakinan apabila menyertai kejohanan. Jadi bila masuk kejohanan, tak tahu macam mana nak kekalkan fokus dan stabil,” katanya.

Skuad terjun negara dijangka menyambung latihan di China selepas berehat selama 10 hari.

Ketika beraksi di Olimpik Rio, skuad terjun berjaya menyumbangkan sebutir perak menerusi gandingan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita, yang juga merupakan pingat pertama diraih kontinjen Malaysia. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");