Berita Hari Ini

Bangsa Johor Identiti Sinonim Dengan Semangat Perpaduan

PETALING JAYA: Istilah Bangsa Johor mampu memupuk perpaduan di kalangan penduduk yang sinonim dengan semangat perpaduan rakyat Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri itu, R.Vidyananthan berkata, identiti Bangsa Johor merupakan satu pemangkin semangat perpaduan rakyat negeri ini di dalam konteks Nasional.

“Saya tidak pernah merasakan mahupun mendapat maklumbalas bahawa identiti ini menjejaskan semangat perpaduan Bangsa Johor sebagai rakyat Malaysia.

“Ia secara langsung menyemai peri pentingnya keharmonian sesama kaum dan permuafakatan kepada seluruh rakyat Malaysia. Bangsa Johor matang dalam bertindak secara positif dan mempunyai cara tersendiri untuk menghargai nilai patriotisme di dalam negara yang kita cintai ini.

“Saya yakin dan percaya Muafakat Bangsa Johor ini merupakan satu contoh yang sangat baik bagi rakyat Malaysia keseluruhannya dalam menilai betapa pentingnya perpaduan dalam kehidupan kita yang terdiri daripada masyarakat majmuk dan berbilang kaum,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Vidyananthan, kemampuan Bangsa Johor untuk melihat seseorang bukan dari sudut bangsa Melayu, Cina atau India tetapi boleh menghormati adat resam dan budaya masing-masing adalah budaya yang lahir dari identiti Bangsa Johor.

“Bangsa Johor adalah rakyat yang menghargai perpaduan, muafakat dan semangat patriotisme. Tidak seharusnya isu ini timbul kerana isu seumpama inilah sebenarnya yang bakal memecah-belahkan perpaduan,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong menegaskan, bahawa Konsep Bangsa Johor ini membawa permuafakatan dan perpaduan Rakyat Johor.

“Dalam konteks ini, saya seorang anak Johor dan Johor adalah rumahku, maka Sultan Johor seumpamanya bapa kepada semua keturunan Bangsa Johor.

“Istilah Bangsa Johor ini telah berjaya menyatukan semua rakyat Johor tidak kira keturunan, agama, latar kehidupan mahupun pangkat atau darjat. Ia bukan suatu konsep yang baru mahupun suatu slogan yang dilaung-laungkan oleh Sultan Johor sahaja tetapi telah dibuktikan menerusi pelaksanaan pelbagai dasar dan inisiatif yang berpaksikan konsep ini.

“Seluruh warga Johor dapat merasai hasil positif daripadanya. Tambahan pula, rakyat pelbagai keturunan di Johor bangga dengan pemupukan semangat jati diri sesama kita,” jelasnya.

Siew Kiong yang juga merangkap Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Negeri Johor menjelaskan pembangunan ekonomi Johor secara pesat dan rancak merupakan hasil daripada permuafakatan Bangsa Johor.

“Johor telah tiga tahun berturut-turut menduduki tangga pertama bagi nilai pelaburan sektor pembuatan di Malaysia semenjak tahun 2013. ‘Ketiga-tiga tahun ini sahaja telah berjaya menarik masuk sejumlah RM66.6 Bilion nilai pelaburan sektor pembuatan dengan pengwujudan sebanyak 55,815 peluang pekerjaan.

“Pembangunan Iskandar Malaysia pula kini merupakan koridor ekonomi paling berjaya di Malaysia dengan jumlah nilai pelaburan terkumpul setakat ini berjumlah RM202.45 bilion dengan pengwujudan sebanyak 605,381 peluang pekerjaan.

“Kemajuan yang dikecapi hari ini tentulah bukan datang bergolek. Ia hadir dari usaha gigih para pemimpin Johor terdahulu yang sejak awal lagi sudah berfikir jauh, memikirkan cara terbaik untuk menyatukan rakyat Johor pelbagai keturunan.

“Maka, masyarakat Cina akan sentiasa menolak sebarang usaha yang mahu memecahbelahkan permuafakatan di antara kita. Kami akur betapa sukar dan payahnya kita membangunkan tanah pertiwi ini sehingga menjadi apa yang kita nikmati hari ini. Meroboh tentunya lebih mudah dari membina,” jelas Siew Kiong.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa konsep Bangsa Johor boleh mengancam perpaduan dan keharmonian dalam persekutuan Malaysia.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa semangat identiti kenegerian yang kuat ini tidak menjejaskan perpaduan dalam persekutuan sebaliknya masyarakat dalam sebuah negeri yang kuat dapat membentuk persekutuan Malaysia yang kuat,” tambahnya.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");