Sukan Hari Ini

Bravo perlu tunggu lebih lama

Manchester, United Kingdom: Claudio Bravo (gambar) perlu menunggu lebih lama sebelum tampil bersama Manchester City dan terpaksa menyaksikan perlawanan menentang West Ham United malam ini daripada tempat duduk penonton di Stadium Etihad.

Penjaga gol Chile itu sudah melengkapkan perpindahan ke Liga Perdana tetapi kekurangan latihan bersama City membuatkan pengurus Pep Guardiola tidak menyenaraikannya.

Ia sekali gus bermakna penjaga gol England Joe Hart lebih terluka kerana Willy Caballero terpilih sebagai kesebelasan utama sejak pasukan itu dibimbing jurulatih Guardiola.

“Dia cergas tetapi tidak akan bermain minggu ini,” kata Guardiola mengenai Bravo.

Guardiola yang mahu memburu kemenangan kelima sepanjang lima perlawanan awal bersama City, berkata Bravo menepati ciri-ciri sebagai penjaga gol hebat dan beliau yakin pemain Chile itu akan lebih menyerlah di bawah bimbingannya.

“Dia mempunyai pengalaman dan mampu membaca pergerakan di dalam kotak penalti. Dia pantas dan cekap bertindak balas. Saya yakin dia akan menjadi antara pemain penting buat kami,” kata Guardiola.

“Saya anggap diri saya sebagai bertuah kerana pernah membimbing pemain Chile seperti Alexis Sanchez dan Arturo Vidal sebelum ini dan kini Claudio Bravo. Saya sudah berbincang dengan Claudio dan berharap dia akan menjadi pemain yang bagus buat kami.

“Saya berpengalaman membimbing pemain Chile dan saya tidak ada masalah dengan mereka. Saya jangkakan perkara sama akan berlaku terhadap Claudio.

“Dan dengan penjaga gol yang mempunyai 100 cap bersama skuad negaranya selain pernah bersaing menentang Argentina dan Brazil, sudah tentu dia akan menjadi aset berharga kami.” – AFP/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");