Berita Hari Ini

Buat ujian darah sukarela bagi kesan virus Zika

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang kerap berulang-alik ke Singapura terutama penduduk Johor, diminta melakukan ujian darah secara sukarela bagi mengesan jangkitan virus Zika berikutan 41 kes wabak itu dikesan di republik berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata tindakan itu penting kerana 80 peratus daripada mereka yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang kesan kerana virus mengambil masa beberapa hari hingga dua minggu bagi menunjukkan simptom.

“Mustahil bagi pihak kami memeriksa semua orang kerana kira-kira 150,000 hingga 200,000 orang berulang alik dari Johor ke Singapura setiap hari menggunakan pelbagai cara atas urusan kerja atau melancong.

“Justeru, saya minta mereka yang ada simptom Zika seperti demam, ruam, sakit sendi dan konjuktivitis (sakit mata) supaya segera menjalani ujian darah. Wanita mengandung atau dalam perancangan mendapatkan anak turut dinasihat melakukan ujian darah kerana virus ini juga boleh merebak melalui hubungan seks.

“Kementerian Kesihatan sudah menyediakan kemudahan melakukan ujian darah bagi mengesan virus Zika di 12 hospital, selain lima makmal di seluruh negara,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Zika di Pusat Kesediaan Krisis dan Tindak Balas (CPRC) menerusi talian 03-88810200 atau 03-88810700 bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Dr Subramaniam berkata, walaupun virus Zika ini jarang mengakibatkan kematian, wanita mengandung yang dijangkiti virus itu berisiko melahirkan bayi dengan kepala kecil, keadaan yang dikenali sebagai ‘microcephaly’ dan kecacatan otak lain.

Beliau berkata, langkah terbaik bagi menghapuskan virus yang disebarkan oleh vektor yang sama seperti denggi iaitu nyamuk aedes adalah dengan membasmi tempat pembiakan nyamuk berkenaan, selain mengambil langkah bagi mengelak gigitan nyamuk berkenaan pada awal pagi dan lewat petang.

Sementara itu, pemantauan di semua pintu masuk utama negara sudah ditingkatkan, terutama terhadap pelancong atau rakyat Malaysia yang kembali dari negara diserang wabak Zika dan setakat ini, tiada pelawat disyaki dijangkiti virus berkenaan.

“Kementerian Kesihatan juga menyaring kontinjen termasuk semua atlet yang menyertai Sukan Olimpik di Rio De Janeiro, Brazil dan semua 56 sampel didapati negatif bagi virus Zika. Kini kami meminta penyokong yang menyaksikan acara sukan itu supaya tampil melakukan pemeriksaan darah secara sukarela.

“Antara Jun 2015 hingga 27 Ogos lalu, pihak kami turut memeriksa 784 sampel darah yang negatif bagi denggi dan mendapati ia juga negatif bagi Zika,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");