Berita Hari Ini

Cuepacs: Pertimbang beri bonus dua bulan gaji

PASIR PUTEH – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap permohonan bonus dua bulan gaji untuk penjawat awam dipertimbangkan untuk diluluskan Perdana Menteri.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, beliau akan menemui PM dalam waktu terdekat bagi membincangkan perkara tersebut kerana menyedari penjawat awam yang masih berdepan kos sara hidup tinggi dan pelbagai bebanan.

Katanya, walaupun sebelum ini kerajaan sudah menyelesaikan semakan skim perjawatan dan semakan gaji, bonus tahunan itu amat diharapkan bagi menghadapi khususnya ketika penggal persekolahan tahun depan akan bermula.

“Kita berterima kasih di atas pelbagai pemberian sebelum ini termasuk bonus Hari Raya RM500 kepada kakitangan awam yang boleh dianggap sebagai dorongan kepada mereka dalam meningkatkan prestasi.

“Perkembangan mengenainya memang dinantikan penjawat awam yang memerlukan kos tambahan untuk menyelesaikan pengurusan pendidikan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Taklimat Perkhidmatan Awam di Dewan Utama Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) di sini, hari ini.

Azih berkata, beliau bersimpati dengan nasib lima peratus daripada penjawat awam yang hampir bersara tetapi belum mampu memiliki rumah sendiri gaji mereka hanya cukup untuk pengurusan harian dan anak-anak sahaja.

“Hasil kajian Cuepacs, kita mendapati dua faktor yang menyebabkan kakitangan awam gagal memiliki rumah sendiri disebabkan bilangan anak yang terlalu ramai selain dibebani hutang dengan institusi kewangan tertentu untuk menampung keperluan semasa.

“Kita berusaha membantu menyelesaikan perkara ini dan berharap masalah diselesaikan menerusi skim perumahan yang ditawarkan oleh kerajaan termasuk menyediakan kediaman secara sewa beli kepada mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan membuka peluang untuk mendapatkan peluang memiliki rumah menerusi Syarikat Perumahan Negara,” katanya.

Beliau juga memina Akta Perlindungan Guru dipercepatkan dalam usaha membela nasib guru yang sering terdedah dengan pelbagai masalah termasuk saman daripada ibu bapa dan sebagainya.

“Penyediaan khidmat guaman adalah satu penghormatan kepada guru kerana kerjaya pendidikan perlu mendapat pembelaan sewajarnya.

“Soal pelanggaran undang-undang oleh guru, itu soal lain, tapi dalam perkaran membabikan bidang kerjaya, gui diberi kemudahan membela dan mempertahankan diri,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");