Membawang Hari Ini

Dah bosan penampilan selekeh

Tiada siapa dapat menidakkan kredibiliti pelakon berbakat besar Amerul Affendi di pentas lakonan. Malah, kehebatannya turut diiktiraf apabila menang kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke 27 (FFM27) menerusi filem Terbaik Dari Langit.

Namun kata Amerul, dia berharap ada penerbit dan pengarah menawarkan watak berbeza sekali gus dapat menggilap lagi bakatnya dalam bidang lakonan.

Bagi pemilik nama sebenar Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 30, dia bosan melakonkan watak antagonis dan penampilan selekeh dalam drama mahupun filem.

“Saya impikan watak korporat berpakaian kemas. Maklumlah, sebelum ini saya sering diberi watak jahat dan orang kampung. Sampai masanya saya dicabar watak lain pula.

“Bagi memastikan kelainan watak dibawa, saya akan meneliti skrip terlebih dulu. Saya terima jika naskhah itu menarik dan watak ditawarkan juga berbaloi.

“Saya juga bersyukur di tengah kemunculan ramai bakat baru, tawaran berlakon tidak pernah putus,” katanya.

Amerul ditemui pada tayangan perdana filem Pekak, baru-baru ini.

Pun begitu, dia tidak berkecil hati jika tidak diberikan watak hero kerana dia akur dirinya tidak mempunyai pakej lengkap untuk muncul sebagai teraju utama dalam filem.

“Saya perlu terima hakikat untuk menjadi hero, bukan sekadar bakat, tetapi mesti ada paras rupa yang kacak untuk melariskan drama atau filem. Bagaimanapun, tidak dinafikan angan-angan menjadi hero itu ada, tetapi belum ada rezeki dan belum ada naskhah yang sesuai untuk saya.

“Apa yang penting, sebagai pelakon saya mesti berusaha menunaikan tanggungjawab yang diserahkan pengarah dengan sebaik mungkin. Watak pembantu ataupun sampingan turut memainkan peranan penting dalam menghidupkan jalan cerita,” katanya.

Tidak takut dibenci penonton

Jika nak diikutkan watak antagonis sudah sebati dengannya sejak dulu. Justeru, tidak hairanlah Amerul diberi kepercayaan melakonkan watak penagih dadah bernama Azman Picaso dalam filem Pekak.

“Cabaran terbesar untuk memaparkan rupa sebenar penagih dadah seperti yang digambarkan dalam naskhah itu. Saya membuat kajian di Google dan menonton video di YouTube berkaitan penagih dadah.

“Saya juga meninjau kehidupan golongan itu di Jalan Chow Kit bagi mendapat realiti sebenar kehidupan mereka,” katanya.

Sementara itu, Amerul mengakui dia bersedia dengan kritikan penonton terhadap lakonannya yang dianggap mencetuskan kontroversi itu.

“Saya terima tawaran berlakon dalam Pekak kerana mesejnya untuk mendidik masyarakat terutama generasi muda agar menjauhi gejala sosial seperti seks bebas dan najis dadah.

“Saya tidak takut dibenci penonton kerana impak daripada watak Azman Picaso kerana itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita terutama di ibu kota dan ada pengajaran di sebaliknya,” katanya.

Diminta mengulas babak Azman merogol Dara (lakonan Sharifah Amani) yang dipotong Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF), kata Amerul, dia tidak ralat kerana potongan itu tidak menjejaskan jalan ceritanya.

“Saya difahamkan babak rogol itu terpaksa dipotong kerana lama dan dianggap keterlaluan, tetapi mesejnya tetap dapat disampaikan kepada penonton,” katanya.

Selain Amerul, filem terbitan Grand Brilliance dan Lightbulb Pictures turut dibintangi Zahiril Adzim, Sharifah Sakinah, Joe Flizzow dan Zaidi Omar.

Pekak arahan Mohd Khairul Azri akan menemui penonton di seluruh negara bermula esok.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");