Jenayah

Didakwa ceroboh tanah milik Sultan Johor

KLUANG – Seorang pengurus ladang dan peladang didakwa di Mahkamah Majistret Kluang, di sini, hari ini atas tuduhan menceroboh masuk tanah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dekat Mukim Kahang, pertengahan Ogos lalu.

Peladang, Yean Fock Choi,64, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan manakala, pengurus ladang, Gan Tong Chon,62, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Majistret, Siti Aziela Sidek.

Kedua-dua lelaki terbabit dituduh dengan niat curang menceroboh secara jenayah dengan memasuki tanah Sultan Ibrahim di Mukim Kahang, di sini, antara 11.45 pagi dan 2.53 petang, 16 Ogos lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Gan dalam pada itu, mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan iaitu mengambil pekerja dua warga Inonesia, Masri dan Najamudin yang tidak memiliki satu pas yang sah di alamat, masa dan tarikh yang sama.

Gan dituduh mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi 12 tahun atau kedua-duanya bagi setiap warga asing yang diambil bekerja.

Mahkamah membenarkan Yean diikat jamin RM3,000 dan menetapkan hukuman terhadapnya dijatuhi esok memandangkan ketiadaan Majistret, semalam.

Gan pula dibenarkan diikat jamin RM11,000 terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan ditetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, Masri, 34 dan Najamudin, 55, bersama empat lagi lelaki rakyat Indonesia iaitu Muhadis, 30, Burhan, 28, Sahban, 22 dan Ramli, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan tinggal di rumah kongsi ladang Mukim Kahang tanpa permit sah antara 5 petang dan 8.23 malam, 16 Ogos lepas.

Kesemua mereka mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dan didakwa mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau maksimum penjara lima tahun dan sebatan sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut menetapkan esok (29 Ogos) untuk kesemua mereka dijatuhi hukuman.

Kesemua prosiding pendakwaan berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Natalie Chew manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");