Jenayah

Didakwa cuba elak duti import kereta mewah

KLANG: Sebuah syarikat pengimport kereta berpangkalan di Sarawak menghadapi tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini kerana cuba mengelak duti import lebih RM170,000 ke atas tiga buah kereta mewah jenis Mercedez Benz E250, empat tahun lepas.

Syarikat Suhusia Shd Bhd yang diwakili pengarahnya, Datuk Othman Suaidi, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Syarikat itu didakwa terlibat dalam cubaan secara fraud mengelak duti import sebanyak RM57,500.40 bagi setiap kereta, yang dikenakan di bawah Perintah Duti Kastam 2007.

Ketiga-tiga kesalahan didakwa dilakukan di Lapangan Kereta Import (CT2) Northport Bhd, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, kira-kira 12 tengah hari pada 11 Mei 2012.

Suhusia didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda minimum 10 kali ganda nilai duti dan maksimum denda 20 kali ganda nilai duti atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Darmafikri membenarkan syarikat itu diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Abdul Rasyiddi Ab Drahman sementara Suhusia diwakili peguam Mohd Hamizi Mohd Yusof dan Raziyan Rahim. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");