Membawang Hari Ini

Dua lagu ‘meletup’

Percubaan Deen Asimi mencanai bakat dalam bidang seni suara tanah air sejak tiga tahun lalu tidak sia-sia.

Biarpun namanya masih asing dalam kalangan peminat industri muzik tanah air, namun dua lagu yang diperkenalkannya mendapat sambutan apabila kerap dimainkan di stesen radio tempatan.

Terbaru, single kedua jejaka kelahiran Kerteh, Terengganu ini mendapat sambutan luar biasa apabila lagu ciptaan Poji Samad berjudul Luka kini berada di tangga tiga teratas radio pantai timur.

Tidak pernah menjangka lagunya berjaya mencuri tumpuan, jejaka berusia 24 tahun ini mengakui keikhlasannya menyanyikan sesuatu lagu itu terbalas.

“Saya sangat terharu dengan sambutan yang diterima. Walaupun rata-rata pendengar tidak mengenali saya, tetapi dua single saya mendapat perhatian.

“Bagi saya, ini adalah permulaan yang baik untuk saya mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian.

“Sejujurnya, bidang seni suara ini sangat dekat dengan diri saya kerana sejak kecil lagi saya suka menyertai pertandingan nyanyian dan membuat persembahan,” katanya.

Menurut Deen, dia banyak mendengar lagu nyanyian penyanyi Indonesia sebagai rujukan untuk memenangi hati pendengar tempatan.

“Saya selalu mendengar lagu nyanyian Opick sebagai rujukan dalam mencari idea baru untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu.

“Bagi saya, lagu Indonesia mempunyai keunikan yang tersendiri sehingga setiap lagu mereka mudah mendapat tempat di hati pendengar di sini.

“Justeru, saya cuba selitkan rahsia yang dimiliki mereka dalam setiap lagu saya supaya dapat diterima ramai. Ternyata cara sebegitu berhasil apabila lagu saya turut dipilih untuk runut bunyi beberapa drama,” katanya.

Tambah anak kedua daripada lima beradik ini, sebagai penyanyi baharu dia tidak mahu terikat kepada satu genre saja.

“Saya mahu dilabel sebagai penyanyi ‘versatile’ yang boleh membawakan pelbagai genre muzik. Biarpun kedua-dua single saya berentak pop balada, tetapi jika diberikan peluang pada masa mendatang, saya juga boleh membawakan lagu bergenre dangdut.

“Bagi saya, sebagai penyanyi baru kita perlu pandai membawakan pelbagai genre muzik kerana permintaan pendengar masa kini sentiasa berubah dan perlu mengikut trend,” katanya yang berharap kehadirannya dalam industri seni tanah air dapat diterima ramai.

-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");