Jenayah

Dua Maut, Empat Parah Dalam Kemalangan Di Yong Peng

JOHOR BAHARU: Dua wanita maut manakala empat lagi anggota keluarga mereka cedera parah apabila kereta Proton Wira yang dinaiki dirempuh sebuah lori di KM115.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah Yong Peng-Pagoh, dekat Batu Pahat, Sabtu malam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata, dalam kejadian pada 9 malam itu, kemalangan turut membabitkan sebuah lori lain, treler, Perodua Viva serta kereta BMW.

“Mangsa yang maut adalah warga emas, Che Pon Ahmad, 74, iaitu penumpang hadapan kereta dan Sabahriah Mahad, 53, penumpang belakang. Kedua-duanya berasal dari Taman Melaka Baru, Melaka.

“Mereka yang cedera parah ialah pemandunya, Mohamad Redzuan Roselin, 31,berasal dari Felda Layang-Layang, Simpang Renggam dekat Kluang serta tiga kanak-kanak yang belum dikenal pasti identiti mereka,” katanya dalam kenyataanpada Ahad.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika Proton Wira dari arah Yong Peng menuju Melaka itu sedang berhenti di lorong kanan jalan kerana berlaku kemalangan kira-kira 400 meter di hadapan melibatkan Suzuki Swift and Perodua Axia.

Menurutnya, pada masa sama, datang sebuah lori dari arah sama terus melanggar bahagian belakang kereta itu lalu mengheret kenderaan terbabit sejauh 12 meter ke hadapan sehingga terperosok di bawah sebuah lori lain.

“Che Pon dan Sabahriah meninggal dunia serta merta di tempat kejadian kerana tersepit di dalam kenderaan dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk bedah siasat,” katanya.

Mohamad Redzuan dan tiga lagi kanak-kanak berkenaan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, untuk rawatan, katanya.

Abdul Wahib berkata difahamkan enam sekeluarga berkenaan sedang dalam perjalanan pulang ke Melaka setelah menghadiri majlis pertunangan di Kluang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu lori berumur 48 itu yang kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Abdul Wahib berkata pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan berkenaan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh 10 kilometer di lebuh raya berkenaan namun, keadaan kembali pulih kira-kira 11 malam tadi, katanya. -Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");