Berita Hari Ini

Eksport durian sejuk beku ke China

KAMUNTING – Syarikat pemprosesan dan pengeksport durian, Duria Manufacturing Sdn Bhd, menyasarkan untuk meraih keuntungan sebanyak RM20 juta melalui eksport durian sejuk beku ke China pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Woei Ming berkata, jumlah tersebut adalah melibatkan pengeksportan sebanyak 5,000 tan metrik durian ke negara China.

Menurutnya, pada tahun sebelumnya, kilang terbabit berjaya mengeksport sebanyak 3,000 tan metrik durian dengan nilai keuntungan sebanyak RM12 juta.

“Negara China adalah destinasi eksport utama durian selain Hong Kong, Kanada, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pra-Pelancaran Inisiatif Pembangunan Industri Berasaskan Durian di Kawasan Perindustrian Kamunting, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Duria Manufacturing Sdn Bhd, Datuk Khamsiyah Yeop dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abd Rahim Md Ariff.

Dalam pada itu, Woei Ming berkata, kilang berkenaan mampu memproses kira-kira 100 tan metrik durian dalam tempoh sehari.

“Bekalan durian-durian berkenaan diperoleh dan dibeli daripada pekebun-pekebun di sekitar kawasan Batu Kurau dan Bukit Gantang.

“Malah kita juga akan meningkatkan pengeluaran durian selaras dengan permintaan yang sangat menggalakkan dari luar negara,” katanya.

Majlis itu disempurnakan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Duria Manufacturing Sdn Bhd yang membuka kilang di sini sejak Julai lalu, sebelum ini beroperasi di Selayang, Selangor.

Kilang pemprosesan ini adalah pengeksport durian terbesar di negara ini yang menawarkan pelbagai produk durian seperti tempoyak, ais krim, popia dan kuih bulan.

Woei Ming berkata, susulan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk durian, pihaknya akan meningkatkan jumlah eksport kepada 8000 tan metrik membabitkan nilai jualan antara RM40 hingga RM50 juta pada tahun depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pembangunan kilang pemprosesan Duria berjaya mewujudkan 170 peluang pekerjaan baharu kepada warga tempatan khususnya di Taiping.

“Selain itu, pekebun-pekebun kecil di Batu Kurau juga mampu meraih pulangan yang lebih tinggi disebabkan pembelian terus daripada pihak Duria yang tidak memerlukan orang tengah,” katanya.

Jelas Redza Rafiq, dalam usaha tersebut, NCIA bekerjasama dengan Duria dari segi perolehan mesin canggih.

“Mesin ini menggunakan cecair nitrogen untuk menurunkan suhu operasi agar proses pembekuan produk lebih singkat dan mengekalkan kualiti yang tinggi.

“Malah ia juga adalah mesin pertama yang ada di Malaysia,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");