Berita Hari Ini

Graduan vokasional jadi rebutan

SEREMBAN – Seramai 1,643 pelajar Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan berjaya mendapatkan pekerjaan di industri mengikut kehendak pasaran semasa.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, terdapat 16 bidang pekerjaan ditawarkan, namun bidang elektrik, elektronik dan automotif adalah yang sering menjadi rebutan pihak industri.

Menurutnya, melalui Program Jelajah Industri yang dilaksanakan sejak 2012 lalu, ramai graduan vokasional berjaya menempatkan diri dalam dunia pekerjaan.

“Program Jelajah Industri Kolej Vokasional ini adalah salah satu program promosi Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV), bagi memastikan penglibatan optimum daripada pihak industri dan swasta dalam menjayakan objektif TPV.

“Kita yakin, penglibatan pihak industri dan swasta ini akan menjadi pelengkap kepada kejayaan TPV, serta mampu mengubah minda masyarakat terhadap persepsi mereka kepada pendidikan vokasional,” katanya pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional KPM, di Dewan Canselori Universiti Sains Islam Malaysia, semalam.

Majlis Konvokesyen yang diadakan mulai 24 Ogos sehingga 26 Ogos itu, meraikan 2,273 graduan diploma dari 16 program yang ditawarkan di 15 Kolej Vokasional Rintis, setelah empat tahun pengajian.

Dalam pada itu, Mahdzir memberitahu pihaknya merancang akan menambah beberapa kursus program yang bersesuaian mengikut kawasan setempat serta mengikut kehendak pasaran, bagi memastikan institusi ini terus cemerlang dalam melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi.

Katanya, sebanyak tujuh buah Kolej Vokasional kini dalam pembinaan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kolej vokasional sebanyak 87 di seluruh negara.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Terbaik Program dan Anugerah Emas Menteri Pendidikan telah dinobatkan kepada Mohamad Khalid Mustapa, 20, dari Kolej Vokasional Pengkalan Chepa yang memperoleh 3.93 mata untuk Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) dalam program Diploma Teknologi Automotif.

Mohamad Khalid berharap suatu hari nanti dia dapat hasilkan kereta ciptaan sendiri, sekali gus tidak mensia-siakan impian yang dipendam selama ini.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");