Sukan Hari Ini

Harap Alonso tak bersara

Barcelona: Khabar angin Fernando Alonso (gambar) mahu bersara daripada arena Formula Satu bakal menjadi kenyataan, kata juara dunia Lewis Hamilton yang menaruh harapan pelumba Sepanyol itu tidak berbuat demikian dalam masa terdekat ini.

Alonso yang juga bekas juara dunia dua kali itu mempamer kejutan di Grand Prix Belgium apabila dia yang memulakan perlumbaan dari petak ke-22, menamatkan saingan di tangga ketujuh tetapi secara keseluruhannya, dia berdepan kempen mengecewakan sejak kembali ke McLaren.

Dalam satu temubual dengan akhbar Sepanyol AS yang diterbitkan kelmarin, Hamilton melabel Alonso sebagai ‘salah seorang pemandu terhebat sepanjang zaman’ tetapi mengaku bekas rakan sepasukannya itu pasti memilih untuk bersara.

Ketika ditanya adakah pelumba Sepanyol itu benar-benar mahu meninggalkan sukan berkenaan, Hamilton berkata: “Sudah tentu. Dia sudah berusia 35 tahun dan mempunyai wang yang cukup. Dia pernah menang banyak perlumbaan, memiliki banyak pengalaman dan tidak bergantung kepada Formula Satu untuk menjadi seseorang.”

Bagaimanapun, Hamilton mengharapkan Alonso akan terus berlumba dalam masa terdekat ini. Kontraknya bersama McLaren akan tamat hujung musim 2017.

“Jika dia memilih untuk bersara tahun depan dan saya tidak lagi dapat berlumba dengannya, ia pasti mengecewakan. Kekecewaan yang amat sangat,” kata Hamilton.

“Ia pasti petanda tidak baik untuk sukan ini dan akan memberi mesej yang tidak tepat. Formula Satu tidak akan sama jika Alonso tidak berlumba.

“Saya berpendapat dia antara pelumba terbaik,” kata Hamilton yang sedang memburu gelaran dunia ketiga berturut-turut musim ini.

“Saya harap McLaren boleh menghasilkan jentera khusus untuknya berlumba dan kembali menang supaya saya dapat kembali bersaing dengannya.”

Alonso sedang menduduki tangga ke-11 kategori pelumba selepas mengumpul 30 mata, ketinggalan 202 mata di belakang pendahulu Hamilton dan dia juga tidak pernah mendaki podium sejak 2014. Mac lalu, Alonso terbabit kemalangan di Grand Prix Australia.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");