Sukan Hari Ini

Harimau Malaysia Belum Ada Ketua Pasukan

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee belum memutuskan siapa yang bakal memikul tugas ketua pasukan memandangkan latihan pusat baru sahaja bermula pada Isnin.

Tugas ketua pasukan skuad kebangsaan sebelum ini dipikul Safiq Rahim yang membuat keputusan bersara daripada aksi kebangsaan pada Julai lalu.

“Saya perlu berbincang dengan pemain-pemain serta pengurus pasukan terlebih dahulu.

“Namun kita sedia maklum beberapa pemain seperti Amri Yahyah, Khairul Fahmi Che Mat, Badrol Bakhtiar serta Brendan Gan yang dipanggil ke latihan pusat kali ini mempunyai pengalaman luas dan sikap kepimpinan,” jelasnya kepada media pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Isnin.

Skuad Harimau Malaysia mula menjalani latihan pusat pada sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa A bertemu Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September ini.

“Hanya Nazirul Naim yang belum melaporkan diri lagi, manakala yang lain (23 pemain) sudah berada di sini. Kita tunggu makluman pengurusan Perak mengenainya.

“Selepas melaporkan diri, hanya Brendan dan Hazirul Hakim masih mengalami kecederaan lama mereka dan kita akan pantau dalam masa sehari dua ini serta mengambil nasihat doktor.

“Kita juga risau dengan jadual liga yang padat memberi kesan kepada pemain-pemain ini dan mereka akan menjalani pemulihan serta latihan ringan untuk sehari dua ini.

“Tetapi dalam masa sama saya akan terapkan apa yang perlu lakukan sebelum bertemu Indonesia nanti,” tambah Kim Swee.

Dalam pada itu, Kim Swee tidak memandang ringan pertemuan dengan pasukan Indonesia yang baharu dibenarkan beraksi di peringkat antarabangsa selepas digantung.

“Pemain-pemain mereka tetap aktif beraksi dalam liga sendiri, malah terdapat ada juga yang beraksi di luar negara. Mereka juga antara pencabar pada saingan Piala Suzuki AFF nanti.

“Saya harap pemain-pemain mampu bersaing dan mendapat keputusan yang baik,” tambahnya.

Skuad kebangsaan sedang dipersiapkan bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF 2016 yang bermula dari 19 November hingga 17 Disember ini.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah Myanmar, Vietnam dan pasukan yang mara daripada pusingan kelayakan nanti.

Skuad 24 pemain kebangsaan:

1. Mohamad Fadhli Mohd Shas – Pertahanan (JDT)

2. Mohd Amri Yahyah – Penyerang (JDT)

3. Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham – Pertahanan (JDT)

4. Mohd Khairulazhan Mohd Khalid – Penjaga gol (Selangor)

5. Ahmad Hazwan Bakri – Penyerang (Selangor)

6. Veenod A/L Subramaniam – Tengah (Selangor)

7. Adam Nor Azlin – Tengah (Selangor)

8. Khairul Fahmi Che Mat – Penjaga gol (Kelantan)

9. Brendan Gan Seng Ling – Tengah (Kelantan)

10. Wan Zack Haikal Wan Nor – Tengah (Kelantan)

11. Mohammad Amer Saidin – Pertahanan (JDT II)

12. Mohd Irfan Fazail – Tengah (JDT)

13. Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak – Penyerang (JDT II)

14. Shahrul Mohd Saad – Pertahanan (Perak)

15. Nazirul Naim Che Hashim – Pertahanan (Perak)

16. Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy – Penjaga gol (Perak)

17. Abdul Latiff Suhaimi – Tengah (PDRM)

18. Muhammad Fakrul Aiman Sidid – Tengah (PDRM)

19. Baddrol Bakhtiar – Tengah (Kedah)

20. Ahmad Fakri Saarani – Tengah (Felda United)

21. Ronny Harun – Pertahanan (Sarawak)

22. Khair Muhammad Jefri Jones – Pertahanan (Melaka)

23. Matthew Thomas Davies – Pertahanan (Pahang)

24. Muhammad Safawi Rasid – Tengah (T-Team)

-MSTAR

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");