Isu Panas

Husam beri tonik baru kepada Amanah

KOTA BHARU – Kemasukan Datuk Husam Musa ke dalam Parti Amanah umpama tonik yang boleh beri kekuatan baru parti itu setelah berhadapan beberapa episod mengecewakan sebelum ini.

Perkembangan ini juga bakal menjadikan suasana politik negara khususnya di Kelantan menjadi lebih menarik kerana seteru utama Amanah iaitu Pas masih berkuasa di sana.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini kerana selaku parti serpihan Pas, tentulah Kelantan menjadi tapak terbaik Amanah membuktikan keupayaannya kepada Pas.

“Penyertaan Husam ke dalam Amanah tidaklah mengejutkan kerana hampir semua pemimpin tinggi Amanah Kelantan adalah mereka yang diketahui umum mempunyai hubungan rapat dengan beliau.

“Walaupun agak terlewat, tindakan ini mampu memberi lonjakan kepada Amanah yang sebelum ini mengalami penurunan moral ekoran kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak serta Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” katanya.

Kamarul diminta mengulas pengumuman Husam yang juga Adun Salor menyertai Amanah dalam satu majlis di Cyberjaya semalam.

Menurutnya, Amanah tidak mempunyai ideologi yang berkesan di kalangan pemimpin tertingginya maka kemasukan Husam yang mengakui minatnya adalah menulis, berbahas dan mencambah minda boleh membantu memperkuatkan Amanah dalam sudut itu.

Beliau berkata, dari segi jangka pendek, kedudukan Kerajaan Kelantan tidak akan tergugat dengan penyertaan Husam ke dalam Amanah ini, sebagaimana yang pernah dijelaskan sebelum ini.

“Selain dari terikat dengan lafaz bai’ah, wakil rakyat dan pemegang jawatan lain dalam kerajaan negeri tidak akan mudah meninggalkan Pas untuk menyertai Amanah kerana Amanah tidak mampu memberikan mereka apa yang Pas melalui kerajaan negeri berikan.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan penyertaan Husam akan merancakkan lagi gerak kerja Amanah menubuhkan cawangan dan mendapatkan sokongan di Kelantan, termasuk penyertaan tokoh-tokoh lain yang tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.

“Jika Bersatu dapat mencuri sebahagian sokongan Umno kepadanya dan bergabung tenaga dengan Amanah maka kita akan menyaksikan satu persaingan yang lebih menarik di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) nanti,” katanya.

Kamarul juga berkata, ia merupakan perkembangan baik untuk rakyat Kelantan, khususnya dari segi peningkatan mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan negeri. Malah mengkritik dari luar melalui parti lain juga adalah lebih profesional berbanding mengkritik dari dalam.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");