Membawang Hari Ini

Jajahan teknologi jadikan remaja kurang patriotik – Black

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Black Hanifah, 28, menyifatkan kecanggihan teknologi membuatkan golongan remaja menilai semangat kemerdekaan dengan cara yang berbeza.

Black berkata, perkara itu menyebabkan kebanyakan golongan muda hanya menunjukkan semangat patriotisme menerusi laman sosial dan bukannya secara fizikal.

“Zaman sekarang, kita dijajah teknologi. Masyarakat kita terutamanya golongan muda hanya sibuk memuat naik foto atau status mengenai semangat kemerdekaan, tetapi secara fizikalnya pula tiada.

“Mereka lupa, semangat patriotisme juga perlu ditunjukkan menerusi perbuatan dengan kita keluar menyertai sebarang acara kemerdekaan, atau memacak bendera di depan rumah, sebagai contoh,” kata juara Mentor musim ketiga itu kepada BH Online.

Ekoran itu, tambah Black semua pihak perlu bersama-sama memastikan generasi kini dan akan datang didedahkan dengan semangat cintakan negara agar mereka tahu serta menghargai pejuang kemerdekaan.

Malah, golongan ibu bapa juga memainkan peranan penting mendidik anak-anak mengenai patriotisme.

“Kita tidak boleh biarkan jajahan teknologi ini memenuhi minda golongan remaja sehingga satu hari nanti mereka lupakan semangat kenegaraan.

“Mereka lahir dalam keadaan negara yang aman dan mereka kurang peduli dengan sejarah tanah air kita. Jadi, pihak sekolah juga memainkan peranan dalam mendidik golongan terbabit bagaimana negara ini mencapai kemerdekaan.

“Paling penting ialah golongan ibu bapa. Mereka perlu didik anak-anak mengenali tokoh-tokoh negara. Mungkin dengan cara membawa anak-anak ke muzium atau tugu negara, termasuklah acara kenegaraan, sedikit sebanyak ia dapat membantu mereka untuk menghayati erti kemerdekaan,” tuturnya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");