Perak Hari Ini

Jangan Kaitkan Negeri Lain – DS Zambry

IPOH: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diminta untuk tidak mengaitkan negeri lain dalam isu penambakan laut yang berlaku di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa Guan Eng tidak seharusnya mengambil jalan mudah dengan melemparkan perkara itu kepada negeri-negeri lain.

Tegas Zambry, Guan Eng sepatutnya bertanggungjawab kepada pengkritik-pengkritik yang menimbulkan sesuatu kritikan terhadap projek yang dijalankan oleh pihaknya itu.

“Saya tidak pernah melemparkan tuduhan atau mengelakkan sesuatu terhadap negeri-negeri lain. Jadi tak perlu mengambil jalan mudah… Apa yang dia (Guan Eng) hadapi, hadapilah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Guan Eng yang mempersoal tindakan sebuah akhbar melaporkan tentang isu penambakan laut di Pulau Pinang yang didakwa menjejaskan alam sekitar.

Guan Eng turut mempersoalkan tindakan akhbar berkenaan yang tidak melaporkan perkara sama di Perak dan Melaka yang dikatakan turut menjalankan projek penambakan laut.

Pada masa sama, Zambry turut meminta Guan Eng untuk mengemukakan bukti terhadap dakwaan yang dibuat supaya pihaknya dapat melakukan siasatan.

“Kita bukan cuba untuk mengelak, kalau mereka ada maklumat-maklumat seperti yang dilaporkan, sila kemukakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kerajaan negeri sememangnya mempunyai cadangan awal untuk membangunkan kawasan tertentu seperti Bagan Datoh, namun ia tertakhluk kepada laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

“Kita tidak akan membuat sesuatu tanpa mengikut laporan yang disediakan oleh pihak EIA. Kita tak buat lagi pun, baru cadangan-cadangan awal.

“Cuma saya nak jelaskan ialah sikap… tak perlu lemparkan secara perbandingan kepada orang lain.

“Tentunya setiap kawasan, negeri mempunyai masalah mereka yang tersendiri… Jadi mereka perlu menyelesaikan masalah tersebut sendiri,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");