Berita Hari Ini

JPPRT perkasakan peranan rukun tetangga

KUALA LUMPUR – Penubuhan Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun Tetangga (JPPRT) di setiap kawasan Parlimen akan lebih memperkasakan peranan dan fungsi Rukun Tetangga dalam memastikan kesejahteraan komuniti di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata penubuhan JPPRT antara lain akan menjadikan kawasan Rukun Tetangga sebagai medium penyelaras dan penyaluran maklumat tepat mengenai usaha kerajaan dalam memupuk perpaduan, memantapkan keselamatan kejiranan, keharmonian agama, budaya, ekonomi dan politik dalam masyarakat.

“Kawasan Parlimen Gombak merupakan projek perintis di Semenanjung Malaysia bagi penubuhan jawatankuasa ini. Oleh itu besar harapan saya untuk melihat jawatankuasa ini bergerak secara proaktif di peringkat akar umbi dan menjadi ejen penggerak perpaduan utama di peringkat komuniti,” katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPPRT Parlimen Gombak, di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Gandesan Letchumanan.

Katanya penubuhan JPPRT juga bertujuan mewujudkan medium komunikasi dua hala yang berkesan antara masyarakat dan JPNIN ke arah pembentukan gerakan akar umbi yang efektif melalui penglibatan masyarakat secara menyeluruh.

Kurup berkata JPPRT yang ditubuhkan di bawah Akta Rukun Tetangga 2012 turut mengambil kira aspek kerjasama strategik antara pelbagai agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan bagi mendatangkan hasil yang lebih tinggi.

Dalam sidang media selepas majlis penyampaian watikah JPPRT itu, Gandesan berkata JPPRT yang pertama ditubuhkan di Malaysia adalah di kawasan Parlimen Pensiangan di Sabah pada bulan lepas.

Katanya pihaknya menyasarkan kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara mempunyai JPPRT selewat-lewatnya hujung tahun hadapan.

“Sebelum ini Rukun Tetangga diselaraskan mengikut daerah atau zon. Oleh itu penubuhan JPPRT ini akan membolehkan Rukun Tetangga diselaraskan mengikut kawasan Parlimen yang lebih tersusun dan sistematik.

“JPPRT akan ditubuhkan di kawasan Parlimen sebaik sahaja kawasan itu mempunyai dokumen dan senarai anggota jawatankuasa yang lengkap serta telah dipersetujui kementerian (Jabatan Perdana Menteri),” katanya.

Seramai 19 anggota JPPRT Parlimen Gombak menerima watikah pelantikan pada majlis itu yang mana Ketua Umno Bahagian Gombak Abdul Rahim Kamarudin dilantik sebagai pengerusi.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");