Sukan Hari Ini

Kedah optimis buru tempat ketiga

JURULATIH Kedah, Tan Cheng Hoe menaruh harapan tinggi pasukannya mampu menamatkan saingan dalam kelompok tiga teratas pada kempen Liga Super musim ini, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.

Cheng Hoe berkata, pasukannya berada di landasan tepat untuk mengakhiri perjuangan di tempat ketiga setelah melakar kemenangan 2-1 ke atas Kelantan dalam aksi liga di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

“Kita harap baki tiga perlawanan akhir itu nanti akan memihak Kedah sekali gus dapat kekal di tangga ketiga meskipun mungkin Selangor dilihat pencabar terdekat ketika ini.

“Jadi, saya harap pemain dapat mempertingkatkan lagi corak permainan mereka dan bermain satu unit berpasukan dalam mengharungi tiga perlawanan terakhir itu,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan.

Dalam perlawanan itu, pemain sayap Kedah, Abdul Halim Shaari membuka tirai jaringan pada minit ke-20 hasil hantaran Thiago Augusto Fernandes, namun tuan rumah kembali menyamakan kedudukan menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor (m-70).

Bagaimanapun, ketika perlawanan seakan berkesudahan seri, Baddrol Bakhtiar tampil selaku wira apabila meledakkan gol kemenangan dalam masa tambahan sekali gus membolehkan skuad Lang Merah membawa pulang tiga mata ke Alor Setar.

Cheng Hoe menyifatkan semangat juang tinggi dipamerkan anak buahnya selain tidak mudah menyerah kalah menjadi kunci kejayaan pasukannya meraih mata penuh.

“Kita tidak jangka boleh menang perlawanan ini, cuma harap dapat keputusan positif di Kota Bharu. Dalam bola sepak, jika kita hanya ada satu peluang dan betul-betul gunakannya ia akan memberi manfaat kepada pasukan,” katanya.

Dalam masa sama, pengendali berusia 48 tahun itu menepis andaian ketiadaan Velizar Popov yang diarahkan meninggalkan bangku simpanan Kelantan memberi kelebihan kepada pasukannya meraih kemenangan.

“Saya tak rasa insiden itu mengganggu atau pun membantu Kedah. Kelantan ada ramai pemain berpengalaman menghadapi situasi seperti itu. Cuma pemain saya kekal fokus selama 90 minit dan itulah yang menjadi nadi kekuatan pasukan kita,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");