Membawang Hari Ini

Kegembiraan berganda

Satu pencapaian yang membanggakan bagi pelakon dan pengacara popular Neelofa apabila meraih pelbagai anugerah sepanjang tempoh dua tahun bergelar usahawan.

Sebelum ini Neelofa atau lebih mesra disapa Lofa, 27, menerima anugerah Matrade Outstanding Achievment Awards selepas produknya berjaya melepasi pasaran luar negara dengan jumlah jualan mencecah RM50 juta setahun.

Terbaru, Lofa sekali lagi diberi penghargaan dalam kategori perniagaan pada majlis anugerah Tribute to Woman Malaysia 2016 yang berlangsung, baru-baru ini.

Lofa yang juga pengacara program MeleTop berkata, dia tidak pernah menjangka menerima pengiktirafan secepat ini.

“Saya bersyukur apabila hasil usaha dan kerja keras sepanjang dua tahun ini semakin mendapat perhatian banyak pihak. Pada masa sama, saya terkejut dan tidak pernah terfikir untuk menerima anugerah dalam bidang perniagaan secepat ini. Bukan apa, saya menyasarkan perkara ini datang dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Bagi saya tempoh dua tahun masih terlalu awal untuk seseorang ahli perniagaan mendapat pengiktirafan daripada pelbagai agensi. Bagaimanapun, saya menganggap anugerah ini sebagai tanda kepercayaan yang diberikan kepada perniagaan saya.

“Tentu saja setiap anugerah menjadikan saya lebih bersemangat untuk melakukan sesuatu yang lebih bagus. Bukan saja buat diri sendiri tetapi juga keluarga dan kakitangan,” katanya.

Lofa yang turut me­ngusahakan kanta sentuh dan minyak wangi mengakui tertekan kerana perlu sentiasa mencari pembaharuan demi meningkatkan lagi mutu produk miliknya.

Pada masa sama, Lofa tidak boleh lari apabila wujudnya perasaan cemburu daripada pengusaha produk lain.

“Perkara sebegini lumrah dalam kehidupan. Bukan saja dalam perniagaan, tetapi apa saja bidang yang diceburi. Malah saya percaya orang lain turut berdepan situasi sama. Secara peribadi saya tidak pernah ambil pusing mengenainya.

“Memandangkan kebanyakan orang kita semakin minat berniaga, jadi saya suka menjalin hubungan perniagaan. Tidak salah untuk kita saling memberi sokongan antara satu sama lain. Bagi saya itu lebih bagus daripada wujud sikap negatif,” katanya.

Kegembiraan berganda turut dirasai Lofa apabila perniagaan bakal berkembang ke Turki dan Arab Saudi.

Doa yang terbaik

Dalam pada sibuk menjalani penggambaran drama Suri Mr Pilot, Lofa sudah bersedia untuk berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji.

Bagaimanapun, Lofa tidak mahu berkongsi lanjut mengenai perkara itu bagi mengelak sebarang persepsi dan perdebatan dalam kalangan masyarakat.

“Saya hanya mengharapkan doa yang terbaik daripada semua peminat. Doakan semoga perancangan saya ini dipermudahkan,” katanya.

Berdasarkan laporan Harian Metro sebelum ini, Lofa dijangka berlepas ke sana 5 September ini dan pulang ke tanah air pada 20 September.

Berkongsi mengenai drama itu, Lofa buat pertama kalinya berlakon dengan Fattah Amin sebagai pasangan suami isteri.

Drama romantik komedi ini dijangka mula bersiaran pada 11 Oktober depan di saluran Astro Ria. – Sudirman Mohd Tahir

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");