Berita Hari Ini

Kementerian ambil serius kekerapan keracunan makanan

IPOH – Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan tegas seperti penutupan premis dan mengenakan kompaun sekiranya pengusaha dapur asrama atau kantin sekolah tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kes keracunan makanan dan memandang serius kekerapan kejadian itu di kantin atau dewan makan asrama sekolah di Perak sejak kebelakangan ini.

Menurutnya pelbagai langkah telah diambil bukan sahaja untuk mengelak kes keracunan makanan di Perak, malah di seluruh negara termasuk membuat pemeriksaan rutin ke atas kantin dan dapur asrama sekolah melalui Operasi Premis Bersih.

“Kementerian Kesihatan mengambil maklum kejadian keracunan makanan yang berlaku di Perak,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Noor Hisham diminta mengulas gesaan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam yang mahu Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan mengambil tindakan segera bagi memastikan masalah keracunan makanan di sekolah di negeri itu tidak terus berulang.

Sepanjang bulan ini 10 kes keracunan makanan melibatkan sekolah berlaku di seluruh Perak tidak termasuk kes terbaharu membabitkan 52 pelajar lelaki Kolej Matrikulasi Gopeng Sabtu lepas.

Kes tersebut berlaku hanya dalam tempoh empat hari selepas 56 pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) mengalami masalah sama.

Menjelas lanjut Dr Noor Hisham berkata sehingga 7 Jun lepas, sebanyak 1,063 pemeriksaan telah dijalankan meliputi pemeriksaan ke atas 757 kantin sekolah dan 306 dapur asrama sekolah di seluruh negara.

“Melalui pemeriksaan ini, sebanyak 18 arahan penutupan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan.

“Sebanyak 141 notis kesalahan mengikut Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan kepada pengusaha kantin sekolah atau dapur asrama sekolah yang gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.

Beliau berkata pihaknya dan Kementerian Pendidikan bekerjasama rapat bagi mengurangkan kejadian keracunan makanan di kantin dan dapur asrama sekolah termasuk memperkukuh syarat perjanjian Kontrak Pembekalan Makanan Bermasak serta semakan menu makanan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");