Berita Hari Ini

Kerajaan puji jalinan perdagangan AMCC

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed memuji usaha dilakukan Dewan Perniagaan Arab-Malaysia (AMCC) dalam kerjasama ekonomi, khususnya untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Arab dan Malaysia.

Beliau berkata, badan ini perlu memainkan peranan penting dengan menjalankan pelbagai program sepanjang masa bagi menjayakan perdagangan dua hala ini ke Malaysia.

“Kita mahu semua majlis perniagaan aktif menjalankan program. Beberapa majlis perniagaan perlu distruktur semula untuk memastikan orang yang mengepalai majlis tersebut, mereka yang benar-benar komited untuk menggalakkan hubungan lebih rapat antara Malaysia dan negara-negara berkenaan.

“AMCC ini akan menjadi sebuah badan yang cergas membantu kerajaan, kerana kerajaan sudah pasti tak dapat jalankan segala-galanya, dan kita harap ia mengadakan program-program,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan AMCC di sini, kelmarin.

Mustapa juga mengalu-alukan inisiatif AMCC mewujudkan Arab Change Alley di Plaza Safuan di Jalan Chow Kit, yang bakal menjadi tumpuan kepada produk dari negara Timur Tengah itu.

“Kita ingin berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Shah Safuan, seorang usahawan Melayu yang menyediakan plaza ini kepada perniagaan Arab. Ia akan jadi tumpuan di mana negara Arab boleh membuat pameran produk Arab,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden AMCC, Mohamed Fauzy Abdul Hamid berkata, keutamaan bagi ruang perniagaan di Plaza Safuan ini diberikan kepada ahli AMCC dan empat negara Arab telah memberikan komitmen untuk tujuan itu, iaitu Yaman, Algeria, Tunisia dan Morocco.

“Peranan majlis ini untuk memudahkan ahli perniagaan Arab, jika mereka datang jalankan perniagaan di sini, mereka perlu lesen perniagaan. Jadi kita kena bantu mereka dapatkan lesen sah dan permit pekerja.

“Majlis ini tidak menjalankan perniagaan. Kita hanya beri peluang kepada mereka untuk datang ke sini,” jelasnya.

Selain produk makanan, katanya, ahli perniagaan Arab dalam AMCC berminat untuk membawa masuk produk seni dan kraftangan atau produk kebudayaan Arab ke negara ini.

“Kita lihat produk seni dan kraftangan sangat artistik dan ia dihasilkan sepenuhnya dengan kerja tangan,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha itu juga bagi mengukuhkan pintu masuk ke pasaran rantau Asia dan ia digerakkan oleh sektor swasta dibantu oleh majlis ini.

“Dalam perniagaan ini, ia lebih kepada rangkaian, di mana kita tidak membuat salinan sumber dan menggunakan kekuatan orang lain untuk menjayakan perkara ini,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");