Berita Hari Ini

Kereta api bakal ke Pantai Timur bakal dibina

BENTONG – Pembinaan landasan kereta api Pantai Timur dari Kuala Lumpur ke Kuantan bakal menggembirakan ramai masyarakat terutamanya mereka yang menetap di Pantai Timur apabila proses kajian pembinaan landasan berkenaan berada pada peringkat akhir yang melibatkan perincian khusus mengenai kos pembinaan dan kesan ekonomi kepada penduduk setempat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pada masa ini pihaknya telah mendapat pandangan daripada perunding-perunding yang terlibat dan masih menunggu kajian mengenai sokongan kewangan laluan sepanjang lebih 200 kilometer itu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, kos pembinaan daripada Kuala Lumpur ke Bentong adalah lebih tinggi memandangkan perlunya pembinaan terowong laluan di kawasan Genting berbanding dari Bentong ke Kuantan yang hanya melalui laluan rata.

“Saya yakin landasan kereta api ini cukup penting bagi pembangunan Pantai Timur yang mana kalau dahulu Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein telah membina lebuh raya Kuala Lumpur-Karak yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Pantai Timur melalui Lebuhraya Pantai Timur.

“Sekarang saya merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ini adalah satu lagi projek yang cukup penting iaitu landasan kereta api untuk menghubungkan Kuala Lumpur dengan Pantai Timur,”katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Karnival Bentong di Dataran Bentong di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MCA negeri Pahang, Senator Datuk Hoh Khai Mun; Pegawai Daerah Bentong, Datuk Azhar Arshad dan Yang Dipertua Majlis Daerah Bentong, Muhammad Shahid Ismail.

Tiong Lai berkata, pembinaan laluan berkenaan akan melalui bandar-bandar utama di Pantai Timur termasuklah Bentong dan Mentakab sehingga ke Pelabuhan Kuantan.

Menurutnya, pembinaan landasan kereta api baharu itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang lebih pesat kepada negeri Pahang dan kawasan berhampiran khususnya.

“Pembinaan kereta api berkenaan juga akan dapat mengurangkan kesesakan lalulintas yang sering berlaku di kawasan lebuh raya termasuk Lebuhraya Pantai Timur khususnya pada setiap kali musim perayaan,”katanya.

Sementara itu, beliau turut berkata, pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) dari Bentong ke Raub yang telah dimulakan tahun ini dijangka siap menjelang 2018.

“Pembinaan laluan alternatif ke Raub itu akan dapat mengurangkan kesesakan yang sering berlaku khususnya di bandar Bentong setiap kali hujung minggu dan cuti umum,”katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");