Jenayah

Kes tembak Cheras: Tujuh ditahan bantu siasatan

KUALA LUMPUR: Tujuh individu ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang ditembak mati di rumahnya di Jalan Pelaga, Taman Cheras di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, empat lelaki termasuk seorang orang kurang upaya dan dua wanita ditahan sekitar Cheras pada Ahad lepas manakala seorang lagi suspek lelaki menyerah diri di Balai Polis Dengkil, Selangor semalam.

Katanya tangkapan kesemua suspek yang berusia antara 41 dan 55 tahun itu membawa kepada penemuan sepucuk pistol semiauto Smith & Wesson Springfields yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa selain tiga kelopak peluru dan 30 butir peluru 9 milimeter.

“Motif kejadian dipercayai kerana salah seorang suspek marah kepada mangsa yang berusia 48 tahun kerana telah mengambil wang hasil perniagaan miliknya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya, siasatan mendapati mangsa dan beberapa suspek merupakan bekas anggota kongsi gelap.

Amar Singh berkata, polis masih lagi mengesan empat lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan berkenaan.

Pada Ahad lepas, satu mayat yang dibalut dengan cadar dan langsir ditemukan kira-kira 8.20 malam di belakang sebuah kereta jenis Toyota Hilux yang ditinggalkan di Jalan Serai Wangi, Taman Cheras, katanya.

Menurutnya, pemeriksaan pada mayat menemukan enam kesan tembakan pada badan mangsa selain kulit pada semua 10 jari tangannya disiat, dipercayai bagi menghapuskan cap jari.

“Mangsa dipercayai ditembak di dalam rumahnya pada Jumaat lepas sebelum mayatnya ditemui dua hari selepas kejadian.

Kesemua mangsa direman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” kata Amar Singh. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");