Berita Hari Ini

Lantik syarikat baharu lain

SEREMBAN – Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melantik satu syarikat baharu sebagai tambahan kepada syarikat sedia ada, bagi menguruskan hal ehwal membabitkan menara telekomunikasi di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu bertujuan memberi persaingan kepada syarikat tunggal yang dipertanggungjawabkan dengan tugas berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, kegagalan syarikat terdahulu memenuhi kehendak pengusaha telekomunikasi didapati menjadi punca Negeri Sembilan ketinggalan dalam aspek perkhidmatan jalur lebar dan pelbagai lagi.

“Kita amat kecewa kerana pada awal 2006, 2007, 2008 dan 2009, negeri ini berada di tempat kedua peringkat kebangsaan manakala nombor satu Selangor. Kita mendahului Pulau Pinang tentang (perkhidmatan) jalur lebar dan lain-lain.

“Tapi sejak tahun 2009, tidak tahu apa sudah jadi. Itu sebabnya kita buat keputusan buka satu lagi syarikat GBC (government-backed company) untuk mengambil alih tugas membina menara (telekomunikasi),” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, difahamkan jumlah menara telekomunikasi yang tidak dibuat oleh syarikat terdahulu ekoran ketiadaan persaingan, sudah mencecah ratusan.

“Bagi buku order (tempahan) untuk satu syarikat (telekomunikasi) saja, mereka ada 95 menara yang belum dibuat. Itu baru (melibatkan) satu syarikat (telekomunikasi).

“Ada banyak syarikat telekomunikasi (terlibat). Beratus menara tidak dibuat menyebabkan kita sekarang menghadapi masalah. Kita jauh ke belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Van Jenazah Tenaga Nasional Berhad (TNB) Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Pusat Islam Rantau, Masjid Imam Haji Kahar, Taman Bandar Ekar, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar TNB negeri (Bahagian Pembahagian TNB), Ir Ahmad Fuad Md Kasim; Pengurus TNB negeri (Jabatan Senggaraan Aset, Bahagian Penghantaran TNB), Ir Muhamad Shah Rizal Suleiman dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Kamal Amran Kamarudin.

Sinar Harian melaporkan pada 20 Ogos lalu, Naib Pengerusi DAP negeri, Teo Kok Seong berharap kerajaan negeri mempertimbangkan untuk melantik lebih dari satu syarikat bagi menguruskan proses pemutihan terhadap struktur dan menara telekomunikasi yang dibina tanpa kebenaran.

“Apabila ada persaingan, lazimnya pelaksanaan tugas akan lebih baik. Cuma kita tidak pasti syarikat yang dilantik sepuluh tahun lalu masih terlibat atau tidak.

“Berdasarkan semakan di SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia), syarikat terbabit masih wujud. Besar kemungkinan, syarikat itu akan terus terlibat dengan proses pemutihan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");