Berita Hari Ini

Lebih 200 pasangan timang bayi Merdeka

KUALA LUMPUR – Ketika negara menyambut Hari Kebangsaan ke-59 hari ini, tarikh keramat itu turut menjadi hari bersejarah buat lebih 200 pasangan suami isteri yang bertuah menyambut kehadiran anggota baharu dalam keluarga mereka.

Di ibu negara, sebanyak 18 kelahiran bayi Merdeka dicatatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak detik 12 tengah malam tadi dengan 10 bayi lelaki dan lapan perempuan, setakat petang ini.

Sementara di SELANGOR, 40 kelahiran bayi Merdeka direkodkan terdiri daripada 21 bayi lelaki dan 19 bayi perempuan, masing-masing di Hospital Selayang (sembilan), Hospital Sungai Buloh (18) dan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (13).

Di PUTRAJAYA pula seramai sembilan kelahiran bayi Merdeka direkodkan di Hospital Putrajaya dengan tiga lelaki dan enam perempuan.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, seramai 12 bayi Merdeka dilahirkan setakat pukul 12 tengah hari tadi di Hospital Melaka dengan 10 bayi lelaki manakala selebihnya perempuan.

Katanya, bayi Merdeka pertama dilahirkan seorang ibu warga Indonesia, Tifani Petros, 32, iaitu bayi lelaki seberat 2.7 kg pada jam 2.18 pagi tadi manakala bayi Merdeka ke-12 pula bayi lelaki seberat 2.9 kg dilahirkan pada pukul 10.33 pagi tadi.

“Saya berharap bayi Merdeka dilahirkan hari ini sentiasa berada dalam keadaan sihat dan menyumbang dari segi bilangan penduduk negeri juga negara, selain menjadi warganegara berguna suatu hari nanti,” katanya kepada pemberita selepas melawat bayi Merdeka itu di Hospital Melaka.

Di SEREMBAN, seramai 11 bayi iaitu enam bayi lelaki dan lima perempuan dilahirkan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, dengan bayi pertama dilahirkan pada pukul 12.23 pagi tadi.

Pengarah HTJ Dr. Ariffin Mohamad berkata daripada jumlah itu, 10 adalah berketurunan Melayu manakala seorang India dengan tiga bayi lahir secara normal, manakala lapan bayi secara pembedahan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");