Berita Hari Ini

Lebih cekap

Jeddah: Sistem e-Hajj diperkenalkan kerajaan Arab Saudi yang mula dilaksanakan secara menyeluruh tahun ini membolehkan pergerakan masuk jemaah haji dari lapangan terbang hingga ke hotel penginapan lebih cekap.

Pengarah Operasi Jeddah Mohamad Zamry Mohd Noor berkata, menerusi sistem ini semua pergerakan jemaah sudah ditentukan sejak di tanah air lagi dan direkodkan ke dalam sistem.

Sebagai contoh, katanya, jika dulu tiket bas untuk jemaah yang baru tiba di terminal lapangan terbang akan dikeluarkan secara manual dan ditampal di dalam pasport jemaah yang memakan masa dua jam.

Katanya, bagaimanapun dengan e-Hajj, tiket berkenaan sudah dimasukkan ke dalam sistem dan jemaah dapat menjimatkan masa menunggu.

“Tahun lalu tiket dikeluarkan secara fizikal iaitu dicetak dan tampal dalam pasport. Sekarang kita tak nampak tiket bas kerana bayaran tiket sudah masuk sistem dan ini menjimatkan masa sehingga dua jam.

“Jadi, jemaah haji tidak letih menunggu, proses lebih cepat dan jemaah lebih selesa dan dapat dibawa ke tempat rehat iaitu di luar bangunan terminal,” katanya.

Menurutnya, di bawah sistem ini jemaah yang tidak disahkan status bangunan penginapan, pengangkutan dan khidmat makanan juga tidak akan diberikan visa.

Katanya, sistem e-Hajj ini sudah diperkenalkan beberapa tahun lalu bagaimanapun ia lebih menyeluruh mulai tahun ini.

Menurutnya, terdapat 37 petugas di pejabat pengurusan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) Jeddah yang berfungsi menyambut ketibaan jemaah Malaysia di terminal haji Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah.

Katanya, petugas haji Malaysia adalah satu-satunya yang dibenarkan masuk sehingga ke pintu pesawat yang mana dengan kerjasama pihak Malaysia Airlines diberikan 17 visa pekerja khas untuk menyambut jemaah masuk ke dalam bangunan terminal.

Mohamad Zamry berkata, walaupun jumlah jemaah haji Malaysia mencecah 489 orang setiap penerbangan, berikutan sistem kerja yang berkesan jemaah dapat keluar dari terminal selepas melalui kaunter imigresen, kastam dan tuntutan bagasi dalam masa dua hingga tiga jam saja berbanding lima jam sebelum ini.

Katanya, di luar terminal, pada tahun ini TH juga memperkenalkan inovasi baru yang mana disediakan satu sistem pengesahan ketibaan jemaah di ruang rehat Malaysia.

“Setiap jemaah yang keluar kita imbas pasport mereka dan kita dapat memastikan 100 peratus jemaah berada di kawasan rehat Malaysia,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");