Isu Panas

Mahathir perlu henti beri persepsi tidak benar

SHAH ALAM – Pemuda Umno Johor mendesak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed untuk berhenti mempertikaikan serta memberi persepsi tidak benar tentang Bangsa Johor.

Ketua Pemudanya, Hahasrin Hashim berkata, kenyataan Mahathir tersebut akan menimbulkan lagi perpecahan di kalangan rakyat dan segregasi yang sudah ada pada hari ini.

“Cukuplah dengan situasi negara kita hari ini, perpaduan yang selama ini terjalin kian retak menanti belah, kerana percayakan guruh, habis air di tempayan dicurahkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa semangat kebangsaan negeri yang disemarakkan seperti bangsa Johor adalah tidak sihat untuk Malaysia dan boleh membawa kepada keruntuhan persekutuan.

Dalam pada itu, Hahasrin berkata, Pemuda Umno Johor kesal dengan kenyataan tersebut dan menolak pandangan negatif Mahathir mengenai Bangsa Johor.

“Tun Mahathir seharusnya jelas, bahawa bangsa yang bertamadun mempunyai identiti peradabannya tersendiri.

“Lipatan sejarah menunjukkan idea pembentukan Bangsa Johor ini telah sekian lama wujud malah roh dan semangatnya tidak pernah padam dalam menyatupadukan masyarakat daripada pelbagai kaum, agama dan budaya,” katanya.

Selain daripada itu, Hahasrin turut menyeru bangsa Johor agar terus bermuafakat menolak pihak-pihak yang cuba merosakkan gagasan perpaduan tersebut walau dengan apa cara sekalipun.

Tambahnya, Pemuda Umno Johor juga sentiasa menyokong dan bersama Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar serta kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam menerajui negeri berkenaan.

“Tun Mahathir seharusnya lebih faham tentang betapa pentingnya muafakat dan perpaduan dibawa oleh Baginda dan kepimpinan Johor khususnya dalam keadaan negara kita yang seringkali diusik api perkauman oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");