Sukan Hari Ini

Masih ada slot

Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee mempertahankan pemilihan 24 pemain biarpun ada pihak mempersoalkan ketiadaan beberapa pemain yang sepatutnya turut mendapat tempat dalam skuadnya.

Kim Swee memanggil 13 muka baru untuk menghadiri kem latihan pusat bermula Isnin ini bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang Indonesia di Solo pada 6 September, namun senarai pemain itu seperti belum lengkap.

Dalam kalangan pemerhati bola sepak dan peminat tempatan, pemain seperti Muhammad Hadin Azman dari FELDA United, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri dan Kenny Pallraj Davaragi (Perak) antara yang wajar diberikan peluang kerana prestasi semasa mereka.

“Hadin dan Fazrul memang ada dalam perancangan asal saya, tapi saya juga ada memanggil dua lagi pemain baru di posisi sayap iaitu Fakrul Aiman Sidid (PDRM) dan Safawi Rasid (T-Team) jadi saya tidak boleh memanggil empat pemain baru serentak.

“Pemain seperti Kenny Pallraj, saya tak nafikan dia mempamerkan peningkatan bersama Perak, tapi untuk posisi pertahanan tengah saya sudah memiliki pemain lain seperti Ronny Harun, Shahrul Saad dan Fadhli Shas. Mungkin belum masa untuk memanggilnya.

“Kami hanya mempunyai satu perlawanan persahabatan dengan kemungkinan sukar untuk saya menurunkan ramai pemain baru dalam perlawanan itu. Jika mereka terus konsisten, mungkin selepas ini dalam persediaan perlawanan menentang Singapura dan Afghanistan mereka boleh dipanggil dan diberi peluang,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Susulan persaraan empat tonggak Johor Darul Ta’zim (Johor DT) membabitkan kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal serta beberapa pemain dilanda kecederaan, Kim Swee hanya mengekalkan 11 pemain daripada skuad ke Jelajah Oceania pada Jun lalu.

Kemunculan buat kali pertama kapten Harimau Muda A Irfan Fazail serta Nazirul Naim Che Hashim, Shahrul Saad, Amer Saidin dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang dipanggil semula, melengkapkan senarai sembilan bekas pemain Kim Swee.

‘Mereka ini bermain baik bersama pasukan masing-masing di peringkat domestik dan juga mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa apabila Sukan SEA, kelayakan Olimpik, perlawanan persahabatan antarabangsa bersama Harimau Muda sebelum ini.

“Biarpun mereka ini dianggap pelapis kepada pemain senior, tapi tiada tiket automatik untuk mereka berada dalam skuad negara. Jika tiada kesungguhan ketika latihan dan prestasi pula tidak baik, saya tetap akan gugurkan mereka,” tegas Kim Swee yang menggalas misi besar untuk mengharungi cabaran Piala AFF pada November.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");