Membawang Hari Ini

Mathni serius pertaruh bakat

Nama Mathni Razak mungkin masih baru dalam industri seni lakon tanah air. Namun, dia sebenarnya sudah lebih enam tahun mengatur rencana menempatkan namanya sebagai anak seni.

Berbekalkan wajah kacak, Mathni atau nama sebenarnya Ahmad Mathni Abdul Razak, 27, menyertai sebuah program mencungkil bakat peragaan dan bergelar finalis pada 2010.

Walaupun mula mendapat perhatian pada tahun sama, sebelum itu dia pernah mencuba nasib sebagai pelakon tambahan dalam filem Jin Notti.

“Filem ini dibintangi Fara Fauzana, Mawi dan ramai lagi. Memandangkan ini pengalaman pertama, banyak perkara baru dapat saya belajar.

“Walaupun sudah jatuh cinta dengan dunia lakonan, saya terpaksa berundur kerana mahu menyambung pelajaran dan fokus kepada beberapa komitmen lain,” katanya.

Selepas dua tahun berehat, dia nekad untuk kembali mencanai bakat dalam bidang lakonan.

“Kali ini saya mahu bergiat secara serius dan menjadikan lakonan sebagai sumber pendapatan utama,” katanya.

Ditanya mengenai stigma pelakon baru yang lebih terpanggil mempertaruhkan rupa paras berbanding bakat, anak jati Kelantan ini tidak bersetuju.

“Bagi saya, biarlah hadirnya kita dalam industri kerana bakat dan bukan bersandar pada paras rupa semata-mata.

“Tidak dinafikan rupa penting tetapi bakat peranannya lebih besar jika mahu bertahan lama dalam industri,” katanya lagi.

Sambung Mathni, dia tidak kisah bermula dari bawah dan diberikan watak kecil.

“Biar bergerak perlahan asal tawaran tak putus. Banyak lagi yang perlu saya belajar untuk jadi pelakon yang bagus.

“Dengan watak kecil saya tetap dapat menimba ilmu dan gunakannya pada masa depan,” katanya.

Ditanya mengenai rujukannya dalam lakonan, Mathni menyebut beberapa nama besar antaranya Rosyam Nor, Ellie Suriati dan Tom Cruise.

“Saya sangat mengagumi bakat mereka. Kalau diberi peluang, saya mahu berlakon dan berguru dengan mereka.

“Saya juga teringin menjayakan drama atau filem aksi,” katanya.

Terbaru, Mathni akan menjalani penggambaran drama bersiri Tuhan Jagakan Dia untuk saluran Hypp TV.

Selain itu, antara filem dan drama lakonannya adalah Karak, Raya Musim Luruh dan Cinta Ke Syurga.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");