Membawang Hari Ini

Nasir Jani tampil dengan Tombiruo

SEKITAR era 80-an, nama Nasir Jani cukup dikenali lantaran sentuhan hebatnya menerusi dua naskhah, Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87 yang mendapat sambutan hangat serta komen positif.

Bagaimanapun, menyelak perjalanan seninya, terlalu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuh pengarah ini dalam menyampaikan karyanya sehingga akhirnya nama Nasir tenggelam dibawa pembangunan industri kreatif.

Enggan lagi dibayangi kisah lalu, Nasir kini bangkit membuktikan bakat dan kemampuannya untuk mengemudi produksi Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi daripada novelis thriller, Ramlee Awang Murshid, ke layar perak.

Akui Nasir, dia amat teruja kerana dapat kembali ke kerusi pengarah bersama Seth Larney yang pernah terlibat dalam penghasilan filem Hollywood seperti The Matrix Reloaded, The Matrix Revolutions, Star Wars: Revenge of the Sith, X-Men Origins: Wolverine, Superman Returns dan The Chronicles of Narnia: Voyage of the Dawn Treader.

“Kalau di lokasi, orang pun keliru mana satu pengarah, tapi bagi saya tak ada masalah kerana kami sudah melalui proses perbincangan, perbalahan dan sebagainya ketika dalam proses praproduksi.

“Jadi apabila di set, masing-masing tahu tugas masing-masing, di mana saya lebih fokus kepada pelakon, jalan cerita, manakala Larney lebih kepada sudut-sudut teknikal melibatkan babak aksi dan kesan khas,” katanya kepada Zass.

Tombiruo memulakan penggambaran pada 31 Julai lalu dan dijangka selesai sepenuhnya pada September depan melibatkan beberapa kawasan hutan di Lembah Klang dan Sabah.

Filem itu menyaksikan gandingan pelakon handalan seperti Zul Ariffin, Farid Kamil dan Nabila Huda.

Tambah Nasir, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang cabaran sepanjang penggambaran berlangsung.

“Saya harap keadaan akan kekal begini sehingga ke akhir penggambaran dan semuanya dapat disiapkan dalam tempoh masa yang dirancang,” katanya.

Mengimbau semula penglibatannya dalam Tombiruo, Nasir berkata, segalanya bermula pada 2010 apabila Ramlee sendiri bertemunya dan menyampaikan hasrat.

Katanya, dari situ, mereka berbincang dan buat beberapa pengolahan jalan cerita dan skrip.

“Tidak dinafikan kita ambil masa lama untuk mulakan proses produksi filem ini. Bukannya kerana buat kerja sambil lewa, tapi kami mahu yang terbaik untuk dipersembahkan kepada penonton dan pembaca setia Tombiruo.

“Namun harus diingatkan, bukan mudah untuk mengadaptasi kesemua cerita di dalam novel ke filem dan pihak panel skrip sudah usahakan sebaik mungkin untuk bawa jalan cerita yang terbaik,” katanya.

Pandangan mengenai Larney

Nasir berkata, dia teruja melihat perancangan dan gambaran anak muda tersebut.

“Saya puji kesungguhan Larney yang komited dengan kerjanya sehingga sanggup bawa sendiri dron, GoPro dan sebuah lagi kamera terkininya untuk penggambaran.

“Saya panggil alat-alat itu sebagai permainan baharu untuk generasi muda dan saya kira ia sangat membantu.

“Saya percaya dengan bantuan dan kepakaran daripada Larney, Insya-ALLAH hasil filem ini baik dan saya harap ia dapat sambutan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");