Panasnya Hari Ini

Penekanan ‘Bangsa Negeri’ Boleh Runtuhkan Perpaduan – Tun M

KUALA LUMPUR : Penekanan terhadap ‘bangsa negeri’ boleh meruntuhkan perpaduan rakyat Malaysia, tegas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, semua negeri perlu memperjuangkan semangat sebagai rakyat Malaysia, bukan sebagai rakyat negeri berbeza kerana hanya melalui perpaduan, Malaysia akan makmur.

“Kita sepatutnya menggelar diri kita sebagai rakyat Malaysia, bukan bangsa Johor, bangsa Kedah. Ini kerana ia boleh memecah-belahkan perpaduan,”katanya, lapor Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai istilah ‘Bangsa Johor’ yang sering digunakan oleh beberapa pihak.

Jelas bekas perdana menteri selama 22 tahun itu, kemakmuran Johor sebahagiannya adalah daripada dasar kerajaan Persekutuan yang membolehkan negeri itu bersaing dengan jirannya, Singapura.

“Untuk bersaing dengan Singapura, kita membangunkan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang. Ia bukanlah lokasi terbaik, tetapi untuk menarik lebih banyak aktiviti perkapalan daripada ke Singapura dan Malaysia melalui Johor.

“Kebanyakan pembangunan di Johor sebenarnya kerana kerajaan Persekutuan kerana kita perlu bersaing dengan Singapura dan Johor berhampiran dengannya,”jelasnya.

Pada masa sama, Tun Mahathir berkata seseorang itu bebas untuk mempromosikan idea seperti ‘Bangsa Johor’ adalah hak kebebasan tetapi tidak sekiranya ia menjurus kepada pemisahan daripada Malaysia.

“Malaysia menjadi makmur selepas merdeka kerana kita bersatu dalam bentuk persekutuan dan saling menyokong,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");