Berita Hari Ini

Penting penguatkuasaan larangan pembakaran terbuka

PUTRAJAYA – Usaha Malaysia menangani masalah jerebu rentas sempadan ketika ini menjadi lebih sukar sekiranya Indonesia tidak menguatkuasakan sepenuhnya larangan pembakaran terbuka di negara itu, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, pembakaran terbuka masih berlaku di Riau dan Sumatera, susulan kerajaan Indonesia masih membenarkan pembakaran terbuka di kawasan seluas kurang daripada dua hektar.

“Demi kebaikan negara serantau, kerajaan Indonesia harus bertindak tegas (perlu kuat kuasa sepenuhnya larangan pembakaran terbuka)… kalau tidak, apa usaha yang dilakukan Malaysia tidak dapat mengelakkan jerebu (rentas sempadan)melanda negara ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas tindakan kerajaan Indonesia mengisytiharkan perintah darurat di negara itu berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk berpunca daripada pembakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah.

Wan Junaidi berkata, beliau berpendapat pengisytiharan perintah darurat ‘tidak membantu sangat’ kerana ia hanya bersifat sementara.

Namun, katanya pengisytiharan itu membolehkan pihak kerajaan Indonesia menghantar anggota polis dan tentera untuk membantu memadam kebakaran dengan segera.

“Malaysia sedia membantu pihak Indonesia dalam pemadaman kebakaran hutan di Indonesia,” kata Wan Junaidi.

Pada 21 Ogos, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Malaysia sedia menghantar Bombardier bagi membantu Indoensia memadam kebakaran yang menyebabkan berlaku jerebu rentas sempadan.

Pada tahun lepas, ketika Indonesia dilanda jerebu teruk, Malaysia menghantar sebuah pesawat Bombardier dan helikopter ke Sumatera Selatan bagi membantu operasi memadam kebakaran.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");