Jenayah

Penuntut IPTA dicekup dalam hotel murah

ALOR SETAR: Alasan menghantar komputer riba diberikan sepasang penuntut universiti ketika dicekup berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan di sebuah hotel murah di Lebuh raya Darulaman, di sini, Sabtu lalu.

Dalam operasi kira-kira jam 1 pagi itu, seorang lelaki berusia 18 tahun cuba melarikan diri ketika sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) mengetuk pintu.

Menyedari kehadiran penguat kuasa, pelajar dari sebuah institusi pengajian tinggi awam itu bagaimanapun akhirnya mengalah setelah didesak membuka pintu dan membenarkan anggota Jaik masuk memeriksa bilik.

Penolong Pengarah Operasi Bahagian Penguat kuasa Jaik, Syeikh Mohd Rasydan A Rahman berkata, pihaknya mendapati seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun turut berada dalam bilik gelap.

Menurutnya, gadis berkenaan hanya memakai tuala dan baju sejuk ketika pemeriksaan dilakukan.

“Kedua-dua mereka didapati tidak memiliki hubungan mahram ataupun hubungan suami isteri dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014,”katanya.

Syeikh Rasydan berkata, pihaknya turut mengesan taktik terbaru digunakan pasangan kekasih untuk mengelak aktiviti maksiat dihidu anggota penguat kuasa.

Dalam pemeriksaan lain di sebuah premis di Simpang Kuala, di sini, sepasang kekasih mengunci pintu dari luar menggunakan mangga untuk mengaburi mata Jaik.

Katanya, wanita berusia 22 tahun itu dikunci dari luar dari hotel murah manakala teman lelaki pula tiada dalam bilik ketika pemeriksaan dilakukan.

Sehubungan itu, anggota penguat kuasa Jaik bertindak menyelamatkan wanita itu yang menanti hampir 30 minit selepas teman lelakinya tidak datang semula ke premis.

Operasi selama lebih tiga jam itu membabitkan 22 anggota penguat kuasa Jaik.

Terdahulu, anggota penguat kuasa Jaik turut mengeluarkan empat notis saman kepada empat remaja berusia antara 18 hingga 20an kerana berkelakuan tidak sopan di depan Masjid Zahir, di sini.

Kata Syeikh Rasydan, pihaknya menerima banyak aduan dari orang awam berhubung masalah remaja di kawasan berkenaan.

“Tidak sepatutnya lokasi seperti hadapan masjid dijadikan tempat untuk melakukan perkara-perkara tidak sopan hingga mendatangkan fitnah,” katanya.

Susulan itu, menurutnya, pihaknya melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sekali gus menjadi peringatan semua.

Kata beliau lagi, keempat remaja itu disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan ataupun kedua-duanya sekali.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");