Panasnya Hari Ini

Permohonan Maaf Tun M Buktikan Beliau Tidak Berwawasan

KUALA LUMPUR : Permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong menunjukkan bekas Perdana Menteri itu tidak berwawasan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pindaan perlembagaan yang dilakukan itu jelas menunjukkan dibuat demi kepentingan Tun Mahathir semasa menjadi perdana menteri.

“Tun Dr Mahathir pada ketika itu (mungkin) ingin mendapat kuasa penuh. Beliau telah meminda (Perlembagaan) dan baru hari ini beliau katakan kesal… ini menunjukkan beliau tidak berwawasan,”katanya, lapor Bernama.

Terdahulu, Tun Mahathir menerusi blognya, chedet.cc mengakui tindakannya itu menyebabkan kelulusan serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong tidak diperlukan untuk suatu Akta Parlimen dijadikan sebagai undang-undang.

Ahmad Shabery berkata, semua pihak perlu menyedari bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah perlembagaan yang telah difikir secara mendalam oleh penggubalnya yang terdiri daripada ‘datuk, nenek, moyang kita’ dan ia mempunyai nilai dan kepentingan tertentu.

Kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu lagi, Tun Mahathir kini hanya perlu menyalahkan dirinya terhadap segala tindakannya yang salah ketika mentadbir negara selama 22 tahun.

“Untuk diri beliau, tidak ada kesan apa-apa tetapi ia seperti membuka pekung di dada bahawa tujuan pindaan dibuat hanya untuk kepentingan beliau pada waktu tersebut, tetapi kesannya adalah kepada rakyat,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");