Jenayah

Rayuan dibalas tengkingan, sepakan

JERANTUT – “Baik aku bunuh saja kau. Biar aku tak ada anak. Ada anak menyusahkan!” Tengking seorang bapa sejurus selepas anaknya yang ditahan pasukan serbuan Op Tapis Bersepadu memohon maaf atas kesilapannya dan merayu untuk diselamatkan, pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 pagi itu, tidak hanya ditengking, anak terbabit turut ‘dihadiahkan’ satu sepakan di bahagian belakang badannya kerana terlalu marah dengan tindakan anaknya yang dikatakan menagih dalam bilik tidurnya bersama seorang rakan.

Lebih mengejutkan lagi dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Jengka 24 itu, remaja lelaki yang dianggarkan berusia 20-an itu turut menipu pihak berkuasa dengan memberitahu dia tidak menyedari akan kewujudan rakannya yang menyorok di bawah katil bilik tidurnya.

Selepas diselongkar, selain menemui rakannya yang dikatakan baharu keluar dari penjara itu, pihak berkuasa turut menemui alat-alat yang disyaki digunakan untuk menagih.

Turut dirampas satu bekas berisi air ketum yang disimpan dalam peti ais di bahagian dapur rumah tersebut.

Selain itu, dalam satu serbuan di sebuah rumah yang lain pula, sebuah keluarga enggan memberikan kerjasama untuk membuka pintu kepada pihak berkuasa sehingga memaksa salah seorang anggota operasi memanjat ruang bahagian dinding dapur untuk memasuki rumah terbabit.

Keluarga yang bertindak mendiamkan diri dalam bilik terbabit kemudiannya keluar dari bilik masing-masing dengan menggunakan alasan enggan membuka pintu kerana disangka perompak.

Dalam serbuan di rumah terbabit, seorang lelaki ditahan setelah didapati bersembunyi di satu sudut di salah sebuah bilik rumah terbabit.

Turut ditemui sekitar enam batang pokok ketum yang dikatakan telah ditanam di bahagian belakang rumah tersebut selain dua senjata tajam dipercayai kerambit dan parang.

Dalam serbuan yang disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, seorang pembekal air ketum di tanah rancangan terbabit turut berjaya ditangkap.

Hasil pemeriksaan ke dalam rumah pembekal berkenaan telah menemui suspek bersama satu periuk daun ketum yang baru direbus dan dibuang airnya.

Turut ditemui dua pokok ketum yang ditanam bersama tanaman lain di belakang rumah suspek di mana kesemua pokok terbabit telah ditebang pihak berkuasa.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");