Berita Hari Ini

Rujuk kerajaan sebelum pulangkan anak panda

PUTRAJAYA: Zoo Negara perlu merujuk Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berhubung isu anak panda betina, Nuan Nuan, sebelum membuat sebarang keputusan berhubung haiwan berkenaan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata, pihak Zoo Negara tidak boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya untuk memulangkan anak panda itu tanpa merujuk kepada kementeriannya terlebih dahulu.

“Kita sedia maklum mengenai kos penyimpanan anak panda itu menelan belanja yang tinggi dan mungkin tidak berbaloi dengan jumlah pulangan dari segi lawatan orang ramai ke zoo terbabit.

“Sekiranya Zoo Negara tidak mampu mengendalikannya dan timbul pelbagai masalah, mereka perlu merujuk kepada kementerian dan kita akan membawa masalah ini untuk dibincangkan pada peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, yang diadakan serentak dengan Program Kibar Jalur Gemilang 2016, di sini hari ini.

Katanya, perbincangan lanjut perlu diadakan untuk mendapat keputusan daripada kerajaan kerana panda yang dibawa masuk ke negara ini adalah atas kebenaran kerajaan, malah ia menjadi sebahagian daripada hubungan diplomasi antara Malaysia dan China.

“Tempoh maksimum penyimpanan anak panda ini adalah selama dua tahun dan kita boleh memulangkannya pada bila-bila masa, namun Zoo Negara tidak boleh membuat keputusan sendiri,” tegas Wan Junaidi.

Sebelum ini, Zoo Negara mengumumkan tidak merancang untuk memanjangkan tempoh penyimpanan Nuan Nuan, anak panda betina kepada pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang, sebaliknya akan dipulangkan kepada kerajaan China apabila usianya melebihi dua tahun berikutan kos penyimpanan yang tinggi.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");