Jenayah

Samseng reban ayam

Kota Bharu: Enam individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan mencederakan dan menculik dua sahabat, dua minggu lalu.

Semua tertuduh, Amaluz Zaman Abdul Wahab, 32, Muhamad Azmira Amaluldin, 27, Mohd Saifulazan Mohd Sauffie, 28, Mohd Faizulry Derani, 28, Mohd Irwan Firdaus Abdullah, 29, dan Feteyafira Hut, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan berkenaan.

Mengikut kertas tuduhan, semua tertuduh didakwa bersama-sama melarikan Suzilah Zoll, 25, dan Muhamad Irfan Abdullah, 24, sebelum mengurung mangsa secara salah di reban ayam di Nilam Puri di sini, jam 1.30 tengah hari, 15 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama, semua tertuduh didakwa mencederakan Suzilah dengan pelbagai objek.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ainun Zafirah Abd Halim menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh, namun tertuduh memohon jaminan dikurangkan.

Majistret Mohd Firdaus Zainal Abidin kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");