Panasnya Hari Ini

‘Saya Minta Maaf Atas Kesilapan Dulu’ – Tun M

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kerana meminda Perlembagaan yang menyebabkan kelulusan dan tandatangan Yang Di-Pertuan Agong tidak lagi menjadi keperluan untuk menjadikan suatu Akta Parlimen sebagai undang-undang sewaktu pentadbirannya.

Bagaimanapun, Tun Mahathir berkata, beliau menjelaskan bahawa pindaan itu bukanlah meliputi semua undang-undang kerana terdapat beberapa undang-undang yang diluluskan Parlimen perlu mendapat tandatangan Yang Di-Pertuan Agong.

“Sebenarnya terdapat lebih 30 prosiding yang tersenarai dalam Perlembagaan yang memerlukan persetujuan Yang Di-Pertuan Agong, sebahagian darinya tanpa mendapatkan nasihat Perdana Menteri.

“Diantara hak dan kuasa ini termasuk mengisytihar darurat. Perisytiharan darurat adalah keistimewaan yang di beri kepada Di-Pertuan Agong kerana implikasinya amat serius,”katanya menerusi catatan di blognya.

Ujarnya lagi, Fasal (1) Perkara 150, Proklamasi Darurat menyatakan “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

Tun Mahathir berkata, Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir akan berlaku.

Oleh itu, Tun Mahathir berkata perkara dan Fasal itu adalah muktamad dan konklusif serta tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

“Tidak ada disebut yang di dalam kes ini, Yang Di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Perdana Menteri. Yang Di-Pertuan Agong juga boleh memasyhurkan ordinan yang mempunyai kuasa yang sama dengan Akta Parlimen.

“Dengan kuasa ini yang kekal ditangan Yang Di-Pertuan Agong tidak terdapat apa-apa keperluan bagi mana-mana undang-undang lain untuk membolehkan kerajaan menggantung undang-undang bagi menangani masalah keselamatan,”tegasnya.

Berikutan itu, Tun Mahathir berkata, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) diluluskan di Dewan Rakyat menghina peruntukan Perkara 38 (4) yang menyatakan ‘Tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Sementara itu, Tun Mahahthir berkata, di bawah Fasal (3) Perkara 40, baginda boleh bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang yang bukan dari Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya menurut budi bicaranya.

“Jelas sekali Akta MKN ini menceroboh kedudukan istimewa Majlis Raja-Raja dan bertentangan dengan hak Yang Di-Pertuan Agong untuk mengisytihar darurat. Akta ini diluluskan sebagai undang-undang persetujuan dan tandatangan Yang Di-Pertuan Agong masih diperlukan.

“Secara dasarnya, MKN telah merampas kuasa dan dan hak Yang Di-Pertuan Agong untuk melaksanakan perkara ini,”tegasnya.

Selain itu, Tun Mahathir berkata, Yang Di-Pertuan Agong masih mempunyai bidang kuasa untuk menasihati Mahkamah Persekutuan tentang apa-apa soal dan kesan mana-mana peruntukan perlembagaan yang berbangkit atau mungkin berbangkit.

“Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu dalam mahkamah terbuka.

“Peruntukan ini memberi hak kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk merujuk ke Mahkamah Persekutuan jika terdapat kesangsian terhadap kesahihan ataupun ketidahsahihan Akta MKN yang tidak pun mendapat persetujuan serta tandatangan Yang Di-Pertuan Agong,”jelas Tun Mahathir.

Tun Mahathir turut berkata, lantikan Perdana Menteri juga merupakan kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong yang melantik seorang individu sebagai Perdana Menteri jika individu itu mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, nama yang dicadangkan oleh parti yang menang tidak semestinya diterima Yang Di-Pertuan Agong jika Yang Di-Pertuan Agong merasakan bahawa terdapat calon lain yang lebih sesuai.

“Oleh sebab itu, berdasarkan kepada peruntukan yang sama di dalam Perlembagaan Negeri masing-masing, di tiga negeri – Terengganu, Perlis dan Selangor – calon yang dikemukakan parti yang menang ditolak dan Raja-Raja membuat keputusan menerima calon yang lain. Mereka ini dilantik sebagai Menteri Besar dan diterima Majlis Mesyuarat Negeri.

“Yang di-Pertuan Agong jelas sekali mempunyai hak untuk melantik Perdana Menteri atas budi bicara. Jika semasa persidangan, Dewan Rakyat menolak lantikan Yang di-Pertuan Agong, maka calon tersebut terpaksa berhenti daripada menjadi Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong akan menamakan calon yang baru,”katanya.

Selain itu, pelantikan Ketua Audit Negara juga dibawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

“Ketua Audit Negara hendaklah melaksanakan apa-apa tugas lain dan menjalankan apa-apa kuasa sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan berhubung dengan akaun bagi Persekutuan dan akaun bagi negeri-negeri.

“Berhubung dengan akaun bagi pihak-pihak berkuasa awam lain dan akaun bagi badan yang dinyatakan melalui perintah yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat,”katanya.

Ujarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memerintahkan Ketua Audit Negara untuk mengaudit akaun 1MDB dan sepatutnya laporan itu dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebaliknya dihantar kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC.

“Ini bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan dimana laporan Ketua Audit Negara hendaklah di hantar kepada Yang di-Pertuan Agong dan kemudiannya dibentang kepada Dewan Rakyat.

“Amat jelas bahawa Kerajaan pimpinan Dato Sri Najib bukan sahaja mengabai peruntukan Perlembagaan, tetapi bertindak bertentangan dengannya, dengan memberi laporan tersebut kepada Peguam Negara. Ianya kemudian diklasifikasi sebagai rahsia rasmi,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");