Sukan Hari Ini

Selangor bawa kelebihan satu gol

JUARA bertahan, Selangor membawa kelebihan satu gol menjelang aksi timbal balik selepas menang tipis 4-3 ke atas pasukan ‘adik’, PKNS FC pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Skuad Gergasi Merah ternyata bergelut pada perlawanan tersebut sebelum pemain import dari Argentina, Mauro Olivi menjaringkan gol kemenangan untuk skuad kendalian jurulatih sementara, K. Gunalan pada minit ke-85.

Terdahulu, Selangor mendahului 2-1 pada babak pertama perlawanan menerusi jaringan Ugo Ukah pada minit kelima dan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-24, sebelum Juan Manuel Cobelli mengurangkan defisit jaringan, selang empat minit kemudian.

Bersambung babak kedua, R. Gopinathan menjaringkan gol ketiga untuk Selangor pada minit ke-52, namun PKNS FC bangkit mengikat kedudukan 3-3 menerusi sentuhan penyudah Gonzalo Soto pada minit ke-60 dan Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-74.

Dalam pada itu, Negeri Sembilan dan T-Team gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri berdepan lawan masing-masing.

Negeri Sembilan seri tanpa jaringan menentang naib juara Piala Malaysia musim lepas, Kedah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi manakala T-Team seri 1-1 berdepan Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pada aksi di Kuala Terengganu, Muhammad Safawi Rasid meletakkan T-Team di hadapan menerusi gol seawal minit ketiga perlawanan sebelum Francis Forkey Doe menyamakan kedudukan pada minit ke-51.

Sementara itu, juara dua kali Piala Malaysia Kelantan tewas mengejut 1-2 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu lagi aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Dua gol PDRM dijaringkan Safuwan Baharudin pada minit kelima dan Guilherme de Paula pada minit ke-22, manakala Kelantan meraih gol saguhati menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-14.

Terdahulu, PDRM terpaksa beraksi dengan sembilan pemain setelah K. Reuben dan de Paula dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Fitri Maskon.

Reuben diperintahkan meninggalkan padang selepas mengasari Indra Putra pada minit ke-59, sebelum de Paula menerima nasib yang sama pada minit ke-89 kerana dikatakan sengaja melengahkan perlawanan.

Kesemua aksi suku akhir kedua Piala Malaysia dijadual berlangsung 17 September ini.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");