Berita Hari Ini

Selesai isu sivil, syariah

Putrajaya: Pindaan terhadap Akta Membaharui Undang-undang Perkahwinan dan Penceraian 1976 (Akta 164) akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang bagi menyelesaikan sebarang pertikaian sekiranya seorang daripada pasangan suami atau isteri memeluk agama Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, pindaan akan dibuat berdasarkan tiga prinsip utama iaitu sebarang isu berbangkit berkenaan perceraian bagi perkahwinan yang didaftarkan secara sivil perlu diselesaikan di Mahkamah Sivil terlebih dahulu bagi memastikan tuntutan seperti hak jagaan dan nafkah anak-anak hingga ke peringkat pendidikan tertinggi terpelihara dan terjamin.

“Kedua, berpaksikan kepada prinsip keadilan sejagat, pindaan akta ini memberi peluang kepada kedua-dua pasangan menyelesaikan isu perkahwinan sivil di mahkamah sivil dan seterusnya membolehkan mereka meneruskan kehidupan masing-masing seperti untuk berkahwin lain bagi pasangan bukan Islam.

“Ketiga, percanggahan yang berlaku antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah berbangkit daripada pemelukan agama Islam oleh salah seorang pasangan dapat diselesaikan, seterusnya kelompangan perundangan dan pertindihan peruntukan undang-undang sedia ada dapat diselesaikan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016 di sini, semalam.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Najib berkata, pindaan terhadap akta ini akan dibentang di Parlimen melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, prinsip berkenaan amat adil sejajar dengan prinsip Islam itu sendiri yang amat mengutamakan aspek keadilan dan maslahah atau kepentingan semua pihak.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas bagi mengawal selia langkah yang boleh diambil untuk menangani kezaliman dan jenayah terhadap kanak-kanak, terutama membabitkan jenayah rogol.

Katanya, pasukan berkenaan akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dianggotai pihak yang berkenaan.

Selain itu, beliau juga mahu kelulusan penempatan lokasi kemudahan penjagaan kanak-kanak di bangunan komersial perlu diselesaikan segera.

“Selari dengan ini juga, saya mengalu-alukan usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan TalentCorp melancarkan inisiatif FlexworkLife.my yang menggalakkan sektor swasta mengamalkan Pengaturan Kerja Fleksibel (FWA) secara lebih meluas,” katanya.

Menurutnya, inisiatif FWA terbukti berkesan apabila pelaksanaan Kumpulan Maybank berjaya meningkatkan kadar pengekalan kerja dari 52 peratus pada 2009 kepada 86 peratus pada 2014.

Pada majlis berkenaan, Najib turut melancarkan transformasi program perkhidmatan penjagaan wanita selepas bersalin, iaitu Program MamaCare yang dilaksanakan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");