Jenayah

Seludup lembu gagal

TUMPAT – Sekumpulan penyeludup sanggup menyeberangi Sungai Golok membawa masuk lembu yang mendapat permintaan tinggi menjelang Aidiladha ini.

Namun tindakan mereka berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor apabila merampas 10 ekor lembu bernilai RM40,000 ketika cuba diseludup masuk, semalam.

Penyeludup terbabit menggunakan laluan Sungai Golok dan menambat lembu-lembu seludup itu di kawasan bendang di Kampung Bendang Pak Yong.

Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, dalam serbuan jam 5.30 pagi itu, sekumpulan penyeludup berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggotanya.

“Sebelum serbuan, intipan awal telah dibuat Unit Risikan Marin kira-kira empat jam dan ternampak beberapa lelaki sedang menarik beberapa ekor lembu dalam kawasan intipan pihak kami.

“Sebaik anggota memperkenalkan diri, penyeludup itu melarikan diri ke arah semak dan meninggalkan lembu yang ditambat di pokok,” katanya.

Menurutnya, selepas menunggu selama 20 minit, tiada sesiapa yang datang menuntut dan mengaku sebagai pemilik dan semua lembu itu dirampas serta dibawa balik ke Markas Operasi PPM.

“Lembu terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, lembu seludup itu dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan sempena Aidiladha bulan depan.

Pada 8 Ogos lalu, PPM mematahkan cubaan seludup kerbau bernilai RM100,000 dalam serbuan di Kampung Pisau Raut.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");