Membawang Hari Ini

Seronok ke lokasi semula

Selepas berlakon dalam drama Mat Despatch kira-kira dua tahun lalu, Ijoy, 43, seperti tidak mahu beraksi lagi depan lensa kamera.

Bukan tiada tawaran yang datang, tetapi suami kepada pelakon dan pengacara, Sharifah Shahirah itu lebih selesa menjaga anak dan menguruskan medan selera milik mereka di Klang Gate, Hulu Klang, Selangor.

Pada masa sama, dia juga sibuk menguruskan syarikat produksi milik ibunya iaitu pelakon Maria Arshad yang banyak menghasilkan iklan komersial untuk syarikat korporat.

“Ada satu ketika saya rasa malas nak berlakon mungkin kerana anak-anak yang sedang membesar. Shira pula sibuk dengan tawaran pengacaraan.

“Jadi kami perlu seimbangkan antara kerjaya, rumah tangga dan anak-anak,” katanya.

Bagaimanapun, pelawaan daripada Kuasatek Pictures Sdn Bhd yang mahukannya berlakon dalam telefilem terbaru terbitan syarikat produksi itu berjudul Black Mamba seakan-akan menggerakkan nalurinya untuk berlakon semula.

“Saya terima tawaran daripada Kuasatek Pictures kerana pengarah drama itu, Aliff Rizall yang juga anak penerbit syarikat itu, Mohd Noor Kadir adalah kawan lama.

“Apabila sudah berada di lokasi telefilem ini rasa seronok pula kerana dapat berjumpa ramai kawan lama termasuklah Kak Azizah Mahzan yang turut berlakon sama,” katanya.

Namun selepas berakhirnya penggambaran telefilem itu, baru-baru ini, Ijoy atau nama sebenarnya Zulkifli Azhari tidak tahu lagi sama ada dia akan kembali aktif dalam bidang lakonan ataupun tidak.

“Saya tak boleh jangka apa yang akan jadi pada masa depan. Tengoklah macam mana nanti,” katanya.

Tak boleh ubah skrip

Ijoy yang kali pertama berlakon dengan Kuasatek Pictures memaklumkan dia mendapat pengalaman baru menerusi Black Mamba.

“Skrip yang ditulis Mohd Noor Kadir itu tidak boleh ditambah atau dikurangkan satu patah perkataan pun.

“Apa yang sudah tercatat dalam skrip itu adalah dialog yang sudah termaktub kerana menurut Mohd Noor, jika ada penambahan perkataan atau ayat ketika berdialog, makna sebenar apa yang nak disampaikan tidak akan sama lagi dengan maksud asal. Begitu telitinya dia.

“Saya rasa seperti pelakon baru kerana diberi ‘guideline’ dalam pengucapan dialog dan saya anggap ia cabaran baru yang menarik. Pun begitu saya menghormati cara Mohd Noor kerana sudah terbukti drama terbitannya yang terdahulu seperti drama Cinderella dan Cinta Antara Benua terus diingati sehingga kini,” katanya.

Menurut Ijoy, ketika dia mendengar nama Mohd Noor, ada rasa bimbang di hatinya tetapi selepas beberapa ketika di lokasi dan bergaul dengannya, Ijoy rasa relaks dan tidak tertekan.

“Dia ada keunikan tersendiri dan seorang yang merendah diri. Paling istimewa skripnya ditulis tangan. Lain benar rasanya apabila bekerja dengan ‘team’ produksi lama,” katanya.

Bercerita mengenai keluarganya, Ijoy berkata, dia kini sedang menantikan kelahiran cahaya mata yang kelima di mana Shira dijangka bersalin pada awal November ini.

“Walaupun semakin sarat Shira masih tak boleh duduk diam dan terus ligat dengan dunia pengacaraannya,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");